Laluan sementara Batang Kali-Genting sudah siap, kata Exco negeri


JALAN
sehala sementara menghubungkan Batang Kali-Genting Highlands yang ditutup berikutan kejadian tanah runtuh perkhemahan Fathers' Organic Farm, Gohtong Jaya sudah siap dibina.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim berkata, jalan sehala itu sebagai langkah sementara diambil bagi kemudahan 4,000 hingga 5,000 penduduk Selangor yang berulang-alik dan bekerja di Genting Highlands, Pahang.

Menurutnya, jalan itu akan dikendalikan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan boleh digunakan dalam waktu terdekat.

Walau bagaimanapun kerajaan negeri akan tetap memberi tumpuan dalam soal keselamatan pengguna laluan tersebut.

"Isu keselamatan menjadi agenda utama kita bagi memastikan mereka yang menggunakan laluan itu selamat," katanya dipetik laporan Sinar.
 
Dalam kejadian 2.42 pagi pada 16 Disember lalu, seramai 92 mangsa terbabit dalam insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan tersebut, 31 disahkan maut manakala 61 lagi terselamat.

Pada 20 Disember lalu, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR) Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata jalan Batang Kali-Genting Highlands ditutup selama setahun bagi kerja-kerja pemulihan cerun.

Pengguna laluan tersebut kemudian memberi pelbagai reaksi berhubung keputusan itu.

Ini susulan bukan sahaja ia menjadi laluan untuk pekerja, namun jalan berkenaan sering menjadi laluan alternatif bagi pemandu dari utara yang keluar menerusi Tol Tanjung Malim, seterusnya melalui Genting Highlands untuk ke pantai timur atau sebaliknya.

Keselamatan pengguna tetap jadi keutamaan
Susulan rungutan itu kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari tersebut akan dilebarkan dan  dibuka semula secara sementara pada awal atau pertengahan Januari ini.

Beliau berkata, perkara itu sudah diputuskan semasa perbicangan beliau dengan JKR Selangor.

Post a Comment

0 Comments