KKM bakal perkemas aset pengangkutan di kawasan kerap banjir

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA (KKM) memfokuskan kepada usaha memperkemas aset pengangkutan khususnya membabitkan lori dan pacuan empat roda bagi kegunaan di kawasan sering dilanda banjir.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa ketika ditemui media semasa mengadakan Lawatan Kerja ke Pejabat Kesihatan Daerah Pasir Mas pada Khamis berkata, langkah itu dilihat penting bagi memastikan kelancaran tugasan kakitangan KKM untuk membantu mangsa dalam kes-kes kecemasan ketika bencana.
 
"Kita lihat pengangkutan adalah suatu keperluan kepada jabatan dalam menjalankan tugasan semasa banjir. Kementerian akan memberi keutamaan untuk memenuhi permintaan berkenaanm," jelasnya.
 
Sebelum itu, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan memohon peruntukan kira-kira RM2.7 juta untuk peralatan dan pengurusan banjir di negeri ini.

Antara keperluan utama melibatkan kenderaan iaitu kira-kira RM2.3 juta manakala peralatan perubatan berjumlah RM141,500 dan peralatan bukan perubatan berjumlah RM268,440.

"Kelantan juga diberi keutamaan kerana menjadi antara lokasi yang hampir setiap tahun dilanda banjir. Insya Allah, ia akan diusahakan secepat mungkin dan bergantung kepada bajet yang ada.

"Untuk banjir kali ini, pihak kami banyak dibantu agensi keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) dari segi pengangkutan," katanya.

Turut serta dalam lawatan itu adalah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia (Perubatan), Datuk Dr Asmayani Khalib dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Zaini Husin.


Bagi memastikan perkhidmatan terus berfungsi
Sementara itu Dr Zaliha turut memberitahu, KKM turut menggerakkan 20 pasukan kesihatan mental dan sokongan Psikososial (MHPSS) bagi memberi perkhidmatan sokongan emosi dan bantuan awal psikologi (PFA) kepada mangsa banjir.


Langkah yang digerakkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu bagi memberi perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial di pusat pemindahan sementara (PPS).

"Secara keseluruhan, sebanyak 835 PFA telah dilakukan kepada orang awam dan 21 PFA kepada petugas barisan hadapan dengan tiada kes yang dirujuk kepada Pakar Petubatan Keluarga atau Pakar Perubatan Psikiatri," katanya.

Dr Zaliha bersama pasukan kesihatan kemudian menaiki lori Angkatan Pertahanan Awam ke PPS Gual Periuk, Rantau Panjang yang menempatkan lebih 1,000 mangsa banjir sebelum bergerak ke Hospital Tengku Anis di Pasir Puteh.

 

Post a Comment

0 Comments