Anwar mampu jadikan M'sia sebagai "Harimau Asia' semula


PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini mampu membawa kembali meletakkan Malaysia sebagai ‘Harimau Asia’ di rantau ini.

Keyakinan itu disuarakan Penganalisis Ekonomi Universiti Selangor (Unisel), Prof Saadiah Mohamad pada satu program wacana anjuran Sinar bertajuk 'Ekonomi Malaysia di tangan Anwar' berkata, keyakinan itu bersandarkan reaksi positif diterima Ahli Parlimen Tambun itu sejak dilantik sebagai perdana menteri untuk memimpin Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Piihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Dengan sambutan baik seluruh masyarakat sama ada dalam kalangan tempatan atau antarabangsa, ia jelasnya sekali gus dapat memberikan keyakinan kepada pelabur luar dalam merancakkan sektor ekonomi negara.
 
“Kita lihat apabilaAnwar dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau mendapat ucapan tahniah yang mencurah-curah, ia sedikit sebanyak dapat menarik perhatian dunia dan dapat mengembalikan keyakinan masyarakat dunia dan pelabur terhadap negara.

“Saya juga berasa lebih positif kerana pada masa yang sama, faktor itu ditambah dengan perkembangan ekonomi di negara jiran, Indonesia semakin bagus sehingga diunjurkan sebagai negara ekonomi besar pada 2030 dan kita akan dapat manfaat daripada itu.

“Kita pula ada Perdana Menteri seperti Anwar, jadi saya kira negara kita akan berada dalam satu rantau negara Asia yang mempunyai ekonomi rancak, kita boleh jadi ‘Harimau Asia’ kembali seperti zaman kebangkitan Asia dahulu,” katanya dipetik.
 
Pada masa yang sama, Saadiah menambah, kerajaan disaran untuk mengkaji Bajet 2023 sebelum dibentangkan pada Februari tahun depan sebagai usaha bagi memastikan agenda reformasi dalam ekonomi negara terlaksana.

Saadiah yakin dengan kepimpinan Anwar
“Antara yang boleh diberi perhatian adalah seperti daripada segi subsidi bersasar dan percukaian.

“Perkara ini penting, kerana kalau dilihat dalam negara ini, kita ada sebilangan golongan yang cukup kaya, jadi dengan usaha mereformasikan sistem percukaian ini, kekayaan mereka itu dapat disumbangkan kepada mereka yang di bawah terutama golongan berpendapatan rendah (B40),” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments