Kebijakan Anwar tutup fitnah PAS


Oleh: SHAHBUDIN HUSIN  | Termasuk Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang turut memegang jawatan Menteri Kewangan, barisan kabinet yang diumumkan  adalah berjumlah 28 orang.

Daripada jumlah tersebut, 8 daripada KEADILAN, 6 daripada UMNO, 4 daripada DAP, 3 daripada PBB (Sarawak), 2 daripada Amanah, 1 masing-masing daripada UPKO, PDP, PRS dan GRS, manakala seorang tidak berparti (Menteri Hal Ehwal Agama).

Mengikut kaum pula, 16 menteri yang dilantik adalah Melayu, 5 Cina, 1 India dan lain-lain iaitu mewakili Sabah dan Sarawak seramai 6 orang.

Dengan kedudukan ini, sususan kabinet yang dibentuk Anwar itu secara langsung menampakkan wajah Malaysia yang sebenar iaitu Melayu sebagai kaum majoriti menguasai kedudukan paling banyak dalam kerajaan sambil dibantu oleh kaum-kaum lain.

Sebagaimana Anwar sebagai seorang pemimpin Melayu yang kekal dengan jiwa Melayunya, perjuangannya yang ingin menjaga kepentingan semua kaum dengan adil sebagaimana kerap dilaungkannya selama ini, ia terserlah dengan sendirinya melalui sususan kabinet yang diumumkannya.

Yang penting, orang Melayu akan gembira dan tiada lagi rasa curiga mereka terhadap kerajaan ini, begitu juga dengan kaum Cina, India dan lain-lain yang turut mendapat tempat masing-masing.

Apabila jawatan timbalan menteri dan GLC diisi tidak lama lagi, bermakna lebih ramai daripada Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak serta kaum-kaum lain bakal mendapat kedudukan yang sewajarnya.

Melalui susunan kabinet yang dilihat mampu menggembirakan semua orang, Anwar juga dalam masa yang sama telah menutup tanggapan jahat selama ini, terutama oleh PAS yang mendakwa apabila Pakatan Harapan (HARAPAN) menjadi kerajaan, maka kaum Cina dan parti DAP akan menguasai segala-galanya.

Realitinya, Melayu tetap dominan dalam kerajaan perpaduan pimpinan Anwar ini.

PAS dan Hadi Awang dengan kegemaran meniupkan sentimen kaum dan agama, tanpa memikirkan dosa serta neraka, dengan tujuan untuk mengaut laba politik dunia semata-mata, yang nyata akan “mati kutu” selepas ini.

Tak kedengaran lagi tuduhan DAP kuasai k'jaan
Ruang untuk mereka terus membakar api politik berasaskan mainan isu kaum dan agama, bakal menyempit dan akan mati secara perlahan-lahan lama-kelamaannya.

Kalau pun ada kesedihan lain dalam hati pimpinan PAS, selain disebabkan hilang gaji dan jawatan dengan terbentuknya kerajaan perpaduan ini, ia tidak lain ialah kerana lorong perjuangan masa depan parti itu untuk terus memutar-belitkan fakta sambil menyelitkan hujah-hujah agama ternampak mulai tertewas dengan kebijaksanaan Anwar dalam percaturannya.

SHAHBUDIN HUSIN ialah penganalisis isu semasa, bekas wartawan di tahun 80an hingga 90an dan juga penulis buku.
 
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan ia tidak semestinya mencerminkan pendirian KartelMedia