Dokumen permuafakatan ditandatangani, lembaran baru untuk negara - PM

 

SATU dokumen Permuafakatan Antara Gabungan Di bawah Kerajaan Perpaduan ditandatangani antara parti dalam kerajaan hari ini.

Selain Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mewakili Pakatan Harapan (HARAPAN), Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, Premier Sarawak Abang Johari Openg dan Presiden Warisan Shafie Apdal hadir pada majlis yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Perjanjian persefahaman kerjasama berkenaan ditandatangani oleh setiausaha agung gabungan politik masing-masing iaitu  Saifuddin Nasution Ismail mewakili HARAPAN; Zambry Ab Kadir (BN); Alexander Nanta Linggi (GPS); Marsidi Manjun (GRS) dan Loretto S Padua Jr (Warisan).

Difahamkan ia turut ditandatangani Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM) serta calon-calon bebas yang secara kumulatif membentuk dua pertiga daripada jumlah ahli Dewan Rakyat.

Anwar yang merupakan Pengerusi HARAPAN menyifatkan peristiwa itu sebagai detik bersejarah dalam politik negara.

Kerjasama yang terbentuk itu tegasnya mempunyai hala tuju jelas dalam memastikan kerajaan yang stabil dan mampu menumpukan kepada tadbir urus yang baik dan membangunkan ekonomi.

“Kita capai persefahaman atau muafakat dengan hala tuju jelas membangun negara, menjamin supaya sistem stabil dan tumpu perhatian untuk mengangkat martabat negara kita sebagai negara yang maju.

“Dalam memorandum ini, saya ingin jelaskan yang disepakati bukan soal kedudukan atau habuan tetapi dasar berasaskan tata kelola yang baik dan memacu ekonomi secara segar dan meyakinkan.

“Saya telah diberikan kepercayaan serta terharu dengan bentuk sokongan dan juga komitmen bersama sebagai satu pasukan mantap (di bawah) kerajaan perpaduan,” kata Anwar pada majlis menandatangani dokumen berkenaan.

Antara lain perjanjian persefaham itu mengkehendaki menyokong Usul Percaya dan Rang Undang-undang Perbekalan.

K'jaan kukuh, mampu hadapi apa juga masalah
"Setiap parti-Parti dan pihak-pihak hendaklah mengundi untuk menyokong Perdana Menteri dalam usul-usul berkait dengan usul percaya, perbekalan dan/atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan Kerajaan Persekutuan mengikut Perlembagaan Persekutuan," menurut dokumen tersebut

Menurut Anwar , perjanjian itu juga akan membolehkan mereka menghadapi apa jua permasalahan di Parlimen dan di luar dengan satu suara iaitu kerajaan perpaduan Malaysia.



Post a Comment

0 Comments