PM zahirkan simpati, ucap penghargaan kepada penyelamat



PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sumbangan bantuan RM10,000 kepada setiap mangsa yang terkorban dan RM1,000 bagi setiap keluarga yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali pada Jumaat.

Beliau yang hadir ke tapak kejadian tanah runtuh kira-kira jam 9.30 malam tadi menzahirkan rasa sedih dan simpatinya terhadap keluarga mangsa terlibat selain  merakamkan penghargaan kepada anggota penyelamat yang telah mengambil risiko keselamatan dalam usaha mencari mangsa di tengah-tengah cuaca yang tidak menentu.

"Saya hanya mengulangi, pertamanya, rasa sedih dan duka cita tragedi yang menimpa keluarga ramai termasuk anak kecil dan ibu.

"Saya juga nak zahirkan penghargaan tinggi pengorbanan petugas bomba dan petugas keselamatan yang bekerja dalam keadaan berisiko," jelasnya kepada media.

Terdahulu Anwar meluangkan masa kira-kira satu jam mendengar taklimat mengenai operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian.

Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Sebanyak 21 kematian disahkan setakat ini dan 12 lagi mangsa belum ditemui.

Kejadian itu mungkin antara yang paling buruk pernah berlaku di negara ini dalam tempoh beberapa dekad lalu.

Difahamkan kerja-kerja mencari dan menyelamat dihentikan sementara susulan hujan di kawasan kejadian dan bakal disambung semula apabila keadaan mengizinkan.

Sementara itu Anwar ketika mengulas mengenai bantuan itu menambah, Bantuan akan disalurkan oleh Jabatan Perdana Menteri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), melalui setiausaha kerajaan negeri Selangor atas kapasitinya selaku pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Selangor.

"Saya akan arahkan pegawai esok, saya lebih bersetuju hal diselaraskan pasukan di bawah Kerajaan Negeri Selangor agar dapat mengendali lebih baik.

Anwar ucap takziah kepada keluarga mangsa


"Pihak persekutuan akan uruskan esok, InsyaAllah terserah kepada Menteri Besar untuk uruskan sebaiknya," katanya lagi.

Anwar ketika ditanyakan apakah jawatankuasa bagi menyiasat punca kejadian tanah runtuh itu bakal ditubuhkan berkata, keputusan mengenainya akan dibuat setelah semua laporan berhubung kejadian ditelitik.

"Ini kita tunggu laporan awal dari Ketua Polis Negara dan pihak bomba dan semua pasukan akan berikan laporan.

"Saya tidak mahu mendahului laporan mereka, biar kita tunggu sekejap.. perhatikan laporan dan ambil tindakan sebaik kita meneliti semua laporan itu,” katanya dipetik.

 

Post a Comment

0 Comments