Belanjawan 2013 akan ditambah baik, usul bermanfaat dikekalkan

 


PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kabinet dipimpinnya akan mengambil kira pandangan Kementerian Kewangan serta Jemaah Menteri kerajaan perpaduan yang baharu bagi urusan Belanjawan 2023.

Pada sidang media di Pejabat Perdana Menteri hari ini, Anwar berkata belanjawan sedia ada akan diteliti dan disemak semula bagi ditambah baik dengan cadangan-cadangan yang baik akan dikekalkan.

“Saya fikir sebahagian besar (daripada belanjawan itu) boleh diterima walaupun ramai yang membuat andaian bahawa saya akan menentang semua cadangan tersebut.

“Cadangan yang baik kita boleh teruskan,” katanya.

Pada masa sama, Anwar menegaskan beliau akan menumpukan usaha untuk menguruskan ekonomi negara dan membina keyakinan pelabur.

Ketika ini jelasnya banyak syarikat pelaburan terutama dari India, China, Eropah serta Amerika Syarikat telah memberi respon positif dengan meminta pertemuan dengannya diatur.

"Saya akan menumpukan pada menjana pertumbuhan ekonomi,” katanya.

PM beri peluang jemaah menteri beri cadangan
Anwar pada Isnin telah mempengerusikan mesyuarat khas Jemaah Menteri yang pertama di Perdana Putra selepas pengumuman barisan Jemaah Menteri baharu yang dianggotai 28 menteri serta dua timbalan perdana menteri pada minggu lepas.

Mesyuarat hari ini jelasnya telah bersetuju supaya gaji menteri dikurangkan sebanyak dua puluh peratus sehingga ekonomi negara pulih semula.