Anwar jelaskan sebab pegang portfolio kewangan


PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan sebab utama beliau menggalas portfolio menteri kewangan seperti diumumkan semalam.

Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu berkata, beliau sebenarnya 'tidak cenderung' untuk memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan namun satu pendekatan perlu dilakukan untuk memulihkan keyakinan terhadap ekonomi, peniaga dan pelabur asing.

"Saya fikir pada peringkat permulaan ini biar saya teruskan," katanya.

Sementara itu tambahnya, bagi memastikan perancangan memacu semula ekonomi negara dapat dijalankan, Kementerian Kewangan beliau akan dibantu pasukan mantap terdiri daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, penjawat awam serta penasihat yang tidak membebankan kewangan kerajaan.
 
Katanya, urusan kerajaan di Kementerian Kewangan diterajuinya akan dibantu beberapa penasihat diketuai Tan Sri Mohd Hassan Merican yang juga merupakan Penasihat untuk Petronas.

Kumpulan penasihat itu jelasnya tidak akan mengambil upah bagi perkhidmatan mereka. 


Sebagai rekod, Anwar pernah
memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan dari 1991 sehingga 1998, dan dalam tempoh itu menyaksikan Euromoney menobatkan beliau sebagai empat menteri kewangan terbaik manakala pada 1996, Asiamoney menamakannya sebagai Menteri Kewangan Terbaik.

Ketika Krisis Kewangan Asia pada 1997, Anwar menyokong prinsip pasaran bebas dan menekankan isu kedekatan perniagaan dan politik di Malaysia.

Usaha mesti dilakukan pulih semula ekonomi
Beliau menyokong akauntabiliti selain memulakan pemotongan perbelanjaan yang meluas demi menyelamatkan ekonomi Malaysia.

Anwar merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan di Bank Dunia dan Tabung Matawang Antarabangsa pada 1998 untuk tempoh dua tahun di mana dalam tempoh itu beliau amat menyokong inisiatif membatalkan hutang dan menangguhkan hukuman terhadap negara-negara miskin, terutamanya di Afrika.



Post a Comment

0 Comments