KUMPULAN pesara kerajaan G25 menyarankan Putrajaya menggubal Akta Keharmonian Kaum dan Agama untuk menjadikannya tindakan mencetuskan kebencian kaum atau agama sebagai kesalahan.
Dipetik laporan media, mereka menegaskan, sesetengah ahli politik masih memainkan isu kaum dan agama dalam kenyataan umum atas nama sebagai “penyelamat” Islam serta orang Melayu.
Tambah mereka, dalam masa serupa malang apabila sesetengah pemimpin Melayu sederhana tidak tampil menyokong pendekatan inklusif dan berbilang kaum yang diambil Perdana Menteri.
“Tindakan mereka berdiam diri menyebabkan perdana menteri kita yang berfikiran reformasi terdedah kepada dakwaan beliau seorang liberal yang mengejar nilai barat demokrasi dan hak asasi manusia.
“Musuhnya malah cuba mengaibkannya dengan mendakwa beliau ada kaitan dengan CIA dan Yahudi. Politik bertahap rendah itu tidak patut dibiarkan saja.
“Bagi tujuan melindungi keharmonian kaum dan agama dalam kalangan rakyat, G25 mencadangkan penggubalan Akta Keharmonian Kaum dan Agama.” kata mereka.
Majlis Raja-Raja Melayu melalui Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir baru-baru ini menggesa ahli politik berhenti menggunakan isu agama atau kaum untuk menghasut rakyat Malaysia.
Ia susulan kebimbangan meningkatnya momokan berunsur kau dan agama yang disebar pihak tidak bertanggungjawab. Jangan bawa negara ke arah kegagalan
“Ahli politik kita perlu menerima nasihat raja-raja dengan serius sebagai panduan terhadap tingkah laku politik mereka.”
“Kita mempunyai potensi kuat untuk menjadi negara maju sepenuhnya, tetapi jika tiada perpaduan dalam kalangan kaum, kita mungkin menjadi negara gagal," kata G25.
0 Comments