Anwar heret Ahli Parlimen Terengganu kerana memfitnah


PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen Kuala Terengganu Amzad Hashim susulan kenyataan berbaur fitnah dilemparnya.

Anwar memfailkan saman itu menerusi Tetuan S N Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada petang Khamis dengan Ahmad Amzad dinamakan sebagai defendan tunggal dalam saman tersebut.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu dalam pernyataan tuntutan tersebut mendakwa defendan pada 7 Disember lepas membuat kenyataan fitnah terhadapnya kepada sekumpulan pelanggan di sebuah restoran.

Kenyataan fitnah terbabit kemudian telah diterbitkan semula di aplikasi TikTok pada hari sama (7 Dis) serta boleh diakses sehingga kini.

Ia antaranya membawa maksud  Anwar tidak boleh dipercayai serta tidak jujur mengenai penerimaan jutaan ringgit daripada kerajaan Selangor sebagai penasihat ekonomi, menipu orang ramai dengan menyatakan menerima gaji RM1 sebagai penasihat ekonomi serta melakukan kesalahan jenayah dan mengkhianati mandat rakyat.

Kenyataan fitnah itu tegas Anwar adalah palsu, berniat jahat dan memperlekehkannya yang mempunyai imej sangat disanjungi di peringkat negara dan antarabangsa kerana dia menentang rasuah.

BACA:
Anwar heret Pengerusi PN ke Mahkamah

"Defendan juga dengan jelas sengaja dan berniat jahat apabila tidak mengendahkan jawapan rasmi bekas menteri besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim semasa persidangan DUN Selangor pada 27 Mac 2012, yang menyatakan bahawa gaji Anwar sebagai penasihat ekonomi negeri Selangor hanyalah jumlah simbolik RM1," kata laporan Bernama.

Anwar dakwa Amzad berniat jahat calar reputasinya
Pada 8 Dis lepas, pihak Anwar telah mengemukakan notis tuntutan supaya defendan menarik balik, memohon maaf, mengaku janji untuk tidak mengulangi kenyataan itu selain membayar ganti rugi kepada plaintif.

Namun defendan tidak membalas tuntutan itu.

Oleh itu, Anwar menuntut ganti rugi am dan pampasan serta ganti rugi teruk dan teladan selain memohon perintah injunksi untuk menghalang pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu daripada terus menerbitkan atau mengedarkan kenyataan fitnah serupa.

Post a Comment

0 Comments