SEORANG aktivis anti-rasuah memberi pandangan berhubung beberapa keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelantikan menteri yang mengundang kritikan.
Edmund Terence Gomez dipetik laporan media berkata, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu mungkin terikat dalam membuat keputusan kerana terpaksa bekerjasama dengan “sekutu yang aneh”.
Mengulas keputusan Anwar untuk memegang portfolio kementerian Kewangan, Gomez walaupun berpendirian ia tindakan kurang wajar untuk perdana menteri turut menjadi menteri kewangan cuba melihat dari sudut kepentingan lain.
“Mari kita lihat dari satu sudut. Kerajaan ditubuhkan terdiri daripada ‘sekutu yang aneh’ yang bersatu atas titah Yang di-Pertuan Agong susulan Parlimen tergantung.
“Anwar dalam situasi yang mana beliau terpaksa memilih untuk bekerjasama dengan parti-parti yang selama ini berseteru dengannya untuk membentuk kerajaan perpaduan.” jelas Gomez yang juga seorang ahli ekonomi politik.
Sebelum ini Anwar berkata beliau tidak bercadang memegang portfolio itu, namun akan melihat segala kemungkinan sebelum membuat keputusan akhir mengenainya.
Dalam sidang media selesai pengumuman senarai kabinet, Anwar kemudian menjelaskan satu pendekatan perlu dilakukan untuk memulihkan keyakinan terhadap ekonomi, peniaga dan pelabur asing.
"Saya fikir pada peringkat permulaan ini biar saya teruskan," katanya.
Di Kementerian Kewangan Anwar akan dibantu pasukan mantap terdiri daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, penjawat awam serta penasihat yang tidak membebankan kewangan kerajaan.Anwar terpaksa kerjasama dengan 'sekutu aneh'
Sementara itu tambah Gomez, jawatan menteri kewangan sendiri dianggap lebih berkuasa berbanding perdana menteri kerana ia mengawal dana kerajaan terutama dalam menyalurkan kontrak dan menentukan perolehan projek.
"Mereka juga boleh menggunakan kuasa membuat keputusan mereka untuk mengawal cara kontrak diberikan.
"Inilah sebabnya penting kenyataan Anwar pada Isnin bahawa proses perolehan projek kerajaan tidak lagi akan dijalankan tanpa tender bagi membanteras rasuah dan tirisan," jelasnya.
0 Comments