Hentikan pendakwaan ‘bermotifkan politik’- Pemuda HARAPAN


TINDAKAN pihak berkuasa mendakwa dua ahli politik dan seorang aktivis pelajar kerana mengambil bahagian dalam demonstrasi membantah kenaikan harga barang yang diadakan di Kuala Lumpur bulan lalu dikutuk Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN).

Melalui satu kenyataan bersama semalam, Pemuda HARAPAN berkata, hak untuk berhimpun secara aman dan bersuara dilindungi dalam Perlembagaan Persekutuan. Pendakwaan oleh pihak berkuasa itu dilihat sebagai satu pembaziran mahkamah dan intimidasi untuk menyekat suara orang muda.

Justeru mereka mendesak pendakwaan “bermotifkan politik” itu segera digugurkan.

“Kerajaan sepatutnya mendengar kebimbangan rakyat dan menerima tuntutan mereka, bukannya mencari jalan untuk menghukum rakyat,” kata mereka.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Ketua Pemuda DAP Dr Kelvin Yii, Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Adam Adli Abd Halim, Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda dan Ketua Pemuda Upko Felix Joseph Saang.

Semalam Hasbie Muda, Ketua AMK Batu Muhammad Sabda Suluh Lestari Yahya dan Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Aliff Naif dihadapkan di mahkamah Majistret Kuala Lumpur dan didakwa mengikut Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012.

Hasbie didakwa mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000, jika sabit kesalahan.

Manakala Muhammad Sabda didakwa berikutan protes kenaikan harga barang pada 9 Julai lalu di kompleks beli-belah Sogo di Kuala Lumpur.

Aliff pula didakwa terlibat dalam perhimpunan #Turunpada 23 Julai lalu. Ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah.

Terdahulu anak muda itu mengadakan beberapa siri demonstrasi susulan kenaikan harga yang menekan rakyat. mereka turut mengemukakan tiga tuntutan kepada kerajaan dalam isu menangani kenaikan harga barang.

Tuntutan tersebut adalah mengembalikan semula subsidi makanan, menghapuskan permit import (AP) bekalan makanan import dan memanggil sidang khas parlimen untuk membincangkan masalah bekalan makanan.

Dengar rungutan rakyat, bukan hukum rakyat
Sementara itu Pemuda HARAPAN berkata, berbanding mengambil tindakan terhadap mereka yang memperjuangkan isu hidup rakyat, pihak berkuasa sepatutnya menyiasat dan mendakwa jenayah-penjenayah serius termasuk dikalangan pemimpin yang terlibat dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa hingga menjejaskan keselamatan negara.

Ia termasuk kontroversi baru-baru ini mengenai perolehan kapal tempur pesisir (LCS).

 

Post a Comment

0 Comments