Guna syarikat palsu pindah RM192 juta dari projek LCS - Rafizi

TIMBALAN Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli membuat pendedahan baharu skandal projek kapal tempur pesisir (LCS) dengan mendakwa RM192 telah dipindahkan ke sebuah firma mencurigakan.

Dakwaan itu dibuat Rafizi berdasarkan laporan siasatan dalaman oleh Boustead Heavy Industries Corporation Bhd yang didakwa dilihatnya.

Menurutnya,  siasatan dalaman itu didapati subkontraktor LCS telah membayar EUR43.69 juta, bersamaan RM210 juta, berdasarkan invois daripada firma Perancis Alizes Marine France. Walau bagaimanapun, bayaran tersebut dihantar kepada sebuah firma yang mencurigakan yang diperbadankan Malta yang dikenali sebagai Alizes Marine Limited.  

"Jumlah perolehan yang dilaporkan di dalam penyata kewangan Alizes Marine France yang dilaporkan kepada pihak berkuasa Perancis hanya EUR3.53 juta (bersamaan sekitar RM18 juta) (dikutip dalam tempoh itu).

“Ini bermakna, sejumlah RM192 juta telah dipindahkan ke akaun syarikat-syarikat pesisir luar pantai yang tidak dapat dijejaki,” kata Rafizi.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata,  skim berkenaan sama dengan skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menyaksikan syarikat palsu dengan nama yang hampir serupa dengan syarikat tulin ditubuhkan di seluruh dunia untuk mengutip dana haram.

“Invois dihantar dari satu syarikat, sebaliknya arahan bayaran adalah supaya invois dibayar ke satu akaun yang didaftarkan di bawah syarikat yang namanya hampir sama tetapi syarikat berlainan,” katanya.

Beliau turut mendakwa Alizes Marine Limited juga dinamakan dalam siri pendedahan Paradise Papers dan Panama Papers tentang bagaimana syarikat pesisir luar pantai digunakan untuk menyembunyikan wang daripada aktiviti yang melanggar undang-undang di seluruh dunia.

Rafizi berkata laporan dalaman itu mendakwa Alizes Marine Limited disyorkan sebagai pembekal alat ganti oleh DCNS, yang adalah firma di sebalik reka bentuk LCS.

“DCNS menggunakan Alizes Marine sebagai syarikat palsu untuk mendapat manfaat dari pembekalan alat gantian berdasarkan muslihat yang dibuat di Malaysia,” petik sebahagian laporan dalaman yang dikongsi Rafizi.

Skandal berlaku mirip penyelewengan 1MDB
Pemimpin KEADILAN itu berkata Malaysia mempunyai sejarah buruk dengan DCNS kerana firma itu kini sedang dalam siasatan Perancis berhubung dakwaan rasuah berhubung perolehan dua kapal selam Malaysia pada 2002.

Oleh itu, kata Rafizi, adalah wajar untuk orang ramai menuntut siasatan terhadap siapa yang "melindungi" DCNS dalam peranannya dalam projek LCS.

“Hanya (perdana menteri ketika itu) Najib Razak, (bekas menteri pertahanan) Ahmad Zahid Hamidi dan (menteri pertahanan semasa) Hishammuddin Hussein yang boleh menjawab soalan ini,” katanya. 

Post a Comment

0 Comments