Tak hadir JKPKP: Radzi Jidin dianggap tak profesional


MENTERI PENDIDIKAN, Radzi Jidin dan wakil Kementerian Pendidikan (KPM) dibidas dan disifatkan bersikap tidak profesional kerana tidak menghadiri mesyuarat jawatankuasa pilihan khas Parlimen (PSC) pada Isnin.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (HARAPAN) Dr Maszlee Malik berkata, mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan Parlimen (JKPKP) itu bagi membincangkan pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang diumumkan Radzi pada 2 Jun lalu.

JKPKP tegasnya mahu KPM menjelaskan rasional pemansuhan PT3 dan persiapan serta alternatif terhadap keputusan itu.

“Hal ini amat dikesali kerana ianya meremehkan kuasa Parlimen dan merendahkan konsep pengasingan kuasa yang wujud di negara ini.

“Sikap tidak profesional ini juga menimbulkan seribu tanda tanya apakah yang menyebabkan mereka takut untuk berhadapan dengan Parlimen melalui JKPKP. Apakah yang ingin disembunyikan?” soal bekas menteri pendidikan itu dalam kenyataan.

Radzi didakwa remehkan kuasa Parlimen


Oleh itu, Maszlee yang juga ketua JKPKP berkata, jawatankuasa itu akan menemui Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun bagi membincangkan ketidakhadiran Radzi dan wakil kementerian terbabit.