BEKAS Pengerusi parti Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi dibidas susulan kenyataanya yang cuba menyalahkan Anwar apabila tidak dipilih sekali lagi sebagai perdana menteri selepas kejatuhan kerajaan pada Feb 2020.
Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Kamil Munim berkata Mahathir cuba melarikan diri daripada menanggung kesalahan bersekongkol menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) dengan terus menerus menyalahkan Anwar.
Bagaimanapun tegasnya, serangan Mahathir kepada Anwar itu tidak memberi kesan terhadap Presiden KEADILAN itu kerana mengetahui Mahathir penyebab kerajaan HARAPAN rebah.
Fakta itu jelas Kamil Munim akan kekal terpahat dalam lipatan sejarah.
"Saya menyeru Tun Mahathir untuk bersikap jujur dan ikhlas dalam berpolitik seperti yang pernah ditunjukkan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang memberi laluan untuk Tun diangkat menjadi perdana menteri ke-7.
"Sekali lagi saya berharap agar Tun Mahathir berhenti menyalahkan individu lain dan bermuhasabah atas segala kesilapan yang pernah dilakukan serta menerima hakikat bahawa tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan adalah disebabkan tindakan beliau sendiri," katanya dipetik.
Dalam wawancara bersama Utusan Malaysia Mahathir berkata dia masih kekal menjadi perdana menteri jika bukan disebabkan Anwar.
"Kalau tak sabit dia (Anwar), saya hari ini jadi Perdana Menteri.
"Bila saya letak jawatan, Agong mahu setiap 220 ahli parlimen tulis siapa yang mereka pilih. Saya fikir HARAPAN akan letak nama sayalah.
“Tetapi Anwar kata dia ada banyak sokongan, orang (HARAPAN) bagi kepada Anwar 92 undi, saya dapat 62, bukan daripada HARAPAN, daripada parti lain orang lain saya tak tahu siapa," katanya.
BACA: Bukan salah Anwar, Mahathir yang tak tunai janji
Untuk rekod, sebelum PRU14, pimpinan HARAPAN bersetuju meletakkan Mahathir sebagai calon PM sebelum menyerahkan kuasa kepada Anwar yang ketika itu masih di penjara.
Gabungan itu kemudian menang PRU14, namun sehingga akhirnya kerajaan HARAPAN ditumbangkan melalui 'pengkhianatan' dalam insiden 'Langkah Sheraton', Mahathir tidak mengotakan janji itu.
Sementara, Adam Adli yang baru dipilih sebagai Ketua AMK turut menempelak Mahathir berikutan kenyataan terbaharu itu.
Tun M digesa berhenti salahkan orang lain |
"Jujurlah, rasanya kita dah hampir lali dengan obsesi Tun M untuk menyalahkan Anwar dalam semua hal. Sudah jadi jenaka berkala.
"Yang meruntuhkan HARAPAN akhirnya adalah orang yang beliau angkat, bukan Anwar. Cukuplah ya? Orang lain ada banyak kerja nak buat," katanya dalam kenyataan.
0 Comments