PAKAR EKONOMI tidak bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk melaksanakan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Prof Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata pengenalan semula cukai itu dijangka mengakibatkan kesan regresif apabila ia dikenakan kepada semua orang, tanpa mengira kemampuan dan sumber pendapatan mereka.
Beliau memberi contoh dimana mereka yang mempunyai pendapatan antara RM10,000 hingga RM20,000 atau golongan berpendapatan rendah dikenakan kadar cukai GST yang sama.
"Ini yang dipanggil regresif. Ia tidak adil kerana orang yang pendapatannya sikit sepatutnya dikenakan cukai pada kadar yang lebih rendah.
"Sebab itu ramai pengguna resah dan menganggap cukai itu sangat membebankan dan zalim," katanya.
Mengakui cukai itu sangat cekap dan berupaya mencapai banyak matlamat, Barjoyai mengingatkan bahawa ia bergantung kepada situasi atau pun suasana apabila ia diperkenalkan.
Kerajaan tegasnya perlu berhati-hati dan tidak terburu-buru memperkenalkan semula GST.
Beliau memberi contoh bagaimana GST di Filipina menyebabkan pemberontakan sekali gus menyebabkan penggunduran presidennya.
Mengulas lanjut cadangan Ismail itu, beliau berkata bahawa kerajaan sebenarnya boleh saja mengekalkan SST dengan memasukkan elemen sistem GST.
"Mengapa sistem GST dianggap cekap ialah kerana ia menyelesaikan masalah snowballing atau kesan cascading yang wujud kerana cukai jualan dikutip diperingkat kilang.
"Apabila kilang menjual, pelanggannya - sama ada pemborong atau peruncit - perlu membayar cukai jualan dan kemudian akan memasukkan cukai tersebut sebagai sebahagian daripada kos belian.
"Mereka kemudian mengenakan keuntungan dan mengenakan harga kepada pelanggan. Maka pelanggan yang terpaksa bayar cukai yang perlu dibayar penjual.
"Itu OK jika hanya berlaku pada satu peringkat, tetapi masalah biasa berlaku pengilang membeli daripada pengilang yang lain, kemudian mengeluarkan barangan lain dan selepas itu menjual kepada pemborong, dan peruncit.
"Jadi, ada empat peringkat di situ. Apabila ada empat peringkat, cukai yang dibayar di kilang pertama akan jadi kos kepada kilang kedua, cukai yang dibayar oleh pengilang kedua akan jadi kos kepada pemborong manakala cukai yang dibayar kepadan pemborong akan jadi kos kepada peruncit," jelas dipetik Malaysiakini.
Sementara itu, pakar ekonomi dari University College i CATS, Kuching, Prof Dr Shazali Abu Mansor berkata tiada masalah untuk kerajaan kembali melaksanakan GST.
Bagaimanapun, katanya, apa yang kerajaan perlu lakukan ialah melaksanakan cukai terbabit kepada barang bukan keperluan.
"Kita melihat dari dua aspek, yang pertama dari aspek kerajaan memang memerlukan duit kerana banyak perkara yang perlu digunakan kerajaan seperti subsidi.
"Jadi, kerajaan memerlukan duit bagi menampung kekurangan kewangan negara serta tidak mahu lagi berhutang.Rakyat tak bersedia tanggung cukai GST
"Yang kedua, dari aspek rakyat pula, mereka belum bersedia kerana keadaan ekonomi yang agak meruncing sekarang.
"Jadi, kalau kita lihat jalan tengahnya ialah kerajaan mungkin boleh kenakan atau adakan semula GST tapi untuk barangan tertentu saja, misalnya barangan mewah seperti kelengkapan golf dan beg tangan berjenama mewah," katanya.
0 Comments