Luncur buku A.Samad Said, Anwar ke PWTC lepas 24 tahun

 


KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan meluncurkan buku kombo merdeka 65 tahun karya Sasterawan Negara, A Samad Said esok.

Ironinya, pelancaran di pentas utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIBF) bakal diadakan di Pusat Dagangan Dunia (PWTC) dimiliki oleh Umno - parti yang menganggap Anwar sebagai musuh utama mereka.

Memetik laporan media, ini adalah kali pertama Anwar hadir semula ke PWTC dalam tempoh  24 tahun.

Sebagai rekod Anwar dipecat oleh Dr Mahathir dari jawatan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden parti Umno pada 1998.

Tindakan bekas perdana menteri itu menyebabkan kemarahan ramai dan seterusnya mencetus gelombang reformasi diilhamkan Anwar yang kini adalah Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

Sejak awal penubuhannya, banyak pihak telah membuat ramalan bahawa KEADILAN yang membawa nama Parti Keadilan Nasional (ketika itu) tidak akan bertahan lama.

Keadilan dikatakan sama sahaja dengan Parti Melayu Semangat 46 dari segi sifatnya yang dianggap parti serpihan Umno, dan nasibnya yang dikatakan, akan dibubarkan dan kembali semula kepada Umno tidak lama kemudian.

Namun parti disertai oleh masyarakat berbilang keturunan dan latarbelakang itu kini merupakan parti terbesar dan melalui kerjasama dengan sekutunya, mereka telah menumbangkan Umno pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dengan Mahathir sendiri hadir bekerjasama dengan Anwar yang dianggap seteru politik sebelumnya.

Sementara itu difahamkan,   karya terbaharu yang bakal diluncurkan adalah terdiri daripada konpilasi novel "Salina", "Langit Petang" dan "Hujan Pagi".

Menurut bahan promosi untuk acara itu, Anwar diperkenalkan bukan sebagai ahli politik tetapi sebagai pengerusi emeritus Institut Antabangsa Pemikir Islam (IIIT).


Post a Comment

0 Comments