Kontrak k'jaan: sebatang tiang lampu bernilai RM153,750.00 ?


KERAJAAN
Persekutuan diketuai Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob digesa menjelaskan butiran kontrak bernilai RM30.75 juta bagi menggantikan 200 tiang lampu.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng membuat gesaan itu setelah merasakan nilai kontrak bagi penggantian untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak berpadanan dengan kerja yang bakal dilaksanakan.

"Orang ramai tertanya-tanya adakah kontrak bernilai RM30.75 juta ini semata-mata untuk membina 200 tiang lampu?

"Adakah ini bermaksud pembinaan satu tiang lampu perlu menelan kos sebanyak RM153,750.00?" soalnya dalam kenyataan.

Media baru-baru ini melaporkan  Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB), melalui anak syarikat milik penuhnya, SCIB Properties Sdn Bhd, menerima surat lantikan bagi kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) bernilai RM30.75 juta daripada Ennova Sdn Bhd.
 
Perkhidmatan kejuruteraan projek untuk penggantian tiang lampu pintar bersepadu DBKL dijangka bermula pada Jun 2022 dan berakhir pada Mei 2023.

Adakah nilai kontrak keterlaluan tinggi?
Bernama dalam laporannya berkata, kontrak itu tertakluk kepada risiko perniagaan biasa seperti kenaikan kos bahan, ketersediaan tenaga kerja mahir, terma kontrak termasuk peruntukan mungkir, prestasi subkontraktor dan kesihatan selain keselamatan terhadap prosedur operasi standard.

Sementara itu Lip Eng berkata dia akan mendapatkan penjelasan DBKL berhubung perkara itu, termasuk sama ada ia diberikan melalui tender terbuka atau tidak.

"Kerajaan tiada alasan untuk mengetepikan soal ketelusan dan tadbir urus yang baik dalam pengurusan kontrak berbelanja begitu tinggi," katanya.
 

Post a Comment

0 Comments