Lepas 'lompat' Zuraida sukar dapat kepercayaan lagi



SEORANG penganalisis politik berpandangan tindakan Zuraida Kamaruddin 'lompat' ke Parti Bangsa Malaysia (PBM) bakal menjejaskan masa depan politiknya.

Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia dipetik laporan Sinar Harian berkata dengan apa yang dilakukan itu, Zuraida akan berdepan kesukaran untuk meraih sokongan pengundi.

Situasi itu jelasnya diburukkan lagi dengan parti PBM -  parti baharu yang masih belum dikenali ramai.

“Apabila beliau lompat masuk Bersatu, sedikit sebanyak boleh bertahan lagi walaupun baharu, tetapi masih parti kerajaan.

“Namun PBM ini parti baharu dan kebanyakannya bekas penyokong KEADILAN yang keluar (parti). Jadi untuk beliau mendapat sokongan untuk bergerak dalam PBM agak sukar.

“Orang pun tidak kenal sangat PBM, jadi untuk beliau bertanding, mungkin agak sukar nak dapat peluang menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang," katanya menurut sebahagian laporan itu.

Pada Khamis, Zuraida mengumumkan keluar daripada Bersatu untuk menyertai PBM.

Sebahagian besar pemimpin politik sama ada pembangkang atau dari Bersatu sendiri menyifatkan tindakan Zuraida itu bukan perkara mengejutkan.

Seorang ahli MPT Bersatu, Faiz Na'aman menurut laporan kiniTV mendedahkan bahawa Zuraida seorang pemimpin yang mempunyai masalah disiplin dan tidak membantu parti itu ketika kempen Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor yang diadakan baru-baru ini.

Menerima surat tunjuk sebab pada 11 Mei lalu kerana berkali-kali menyertai aktiviti PBM yang melanggar disiplin parti itu, Zuraida kemudian menafikan dia sebagai pemimpin bermasalah.

Apakah rakyat percaya Zuraida lagi?
Sementara itu tambah Mohd Azizuddin, kekuatan Zuraida sehingga dapat membina kerjaya politik selama ini sebenarnya banyak didokong oleh KEADILAN yang disertainya sebelum ini.

BACA: Zuraida kini sudah tiada nilai, kata Saifuddin Nasution

“Apa-apa pun bergantung bagaimana Zuraida meyakinkan pengundi kenapa beliau melompat parti kali kedua. Kalau rakyat yakin, mereka akan sokong, kalau tidak, sukar beliau mendapat kepercayaan rakyat lagi,” katanya.

Post a Comment

0 Comments