Fahmi ucap tahniah, Adam rasa gembira, bersyukur dan lega


AKTIVIS Mahasiswa, Adam Adli mengesahkan bahawa beliau memenangi jawatan Ketua Angkatan Muda (AMK) KEADILAN pada pemilihan parti yang baru berakhir.

Walaupun keputusan pemilihan hanya akan diumumkan secara rasmi oleh parti bulan depan, kemenangan Adam turut diakui saingannya bagi jawatan itu, Fahmi Zainol yang juga adalah aktivis mahasiswa.

Difahamkan Adam Adli Abdul Halim telah menang dengan kelebihan 1,762 undi, melalui satu pengiraan pilihan raya tidak rasmi.

Adam sementara itu berkata dia "gembira, bersyukur dan lega" dengan keputusan itu.

Sungguhpun begitu jelasnya, kemenangannya datang dengan kesedaran bahawa menang jawatan ketua AMK bukanlah satu ‘kemenangan’ – sebaliknya, ia tanggungjawab yang kini mesti dipikulnya dengan baik.

“Saya ingin menekankan bahawa saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan semua orang.

"Menjadi hasrat saya untuk melihat kerjasama berpasukan AMK yang lebih baik kerana kita perlu bersedia untuk cabaran yang akan datang,” kata Adam dipetik laporan Malaysiakini.

Sebagai rekod, pada 2011, Adam mula mendapat perhatian kerana tindakannya menurunkan bendera memaparkan gambar perdana menteri ketika itu, Najib Razak, di ibu pejabat Umno.

Beliau menggantikan bendera itu dengan bendera berslogan kebebasan akademik, yang disifatkannya sebagai ‘ekspresi diri’.

Adam dipilih sebagai Ketua AMK yang baharu
Sementara itu, Fahmi dipetik laporan sama berkata, dengan keputusan itu beliau akan memberi sokongan penuh kepada Adam sebagai Ketua AMK bagi memastikan kekuatan parti diperkukuh untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Semalam sudah mengucapkan tahniah kepada beliau semoga maju jaya.

"Ya kita akan memberi sokongan yang penuh kepada sesiapa yang menang untuk memastikan PRU15 akan memberi kesan yang positif kepada KEADILAN," kata Fahmi.

Post a Comment

0 Comments