DUA wakil rakyat Pakatan Harapan (HARAPAN) Perak secara rasmi membuat petisyen kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) negeri bagi menyiasat isu penjualan tanah milik negeri di Seri Iskandar.
Adun Simpang Pulai Tan Kar Hing dan Adun Keranji Chong Zhemin berkata, jawatankuasa itu perlu mendapatkan dokumen berkaitan daripada kerajaan negeri dan menentukan sama ada urus niaga itu tidak melanggar sebarang kesalahan.
“Kita harap perkara ini bukan sekadar perang mulut. Memandangkan terdapat dakwaan yang berbeza tentang cara penjualan berlaku, penjelasan yang lebih terperinci diperlukan.
“Ini sangat penting bukan sahaja untuk menentukan pihak berkuasa mana yang telah meluluskan penjualan tanah itu. Proses Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) menjual tanah kepada perusahaan swasta, penetapan harga, mekanisme pembayaran dan sebagainya, mesti dipastikan,” kata Tan.
Mereka yang kedua-duanya adalah ahli PAC Perak sebelumnya menyerahkan petisyen berkenaan kepada pejabat Pengerusi PAC Perak Mohd Tarmizi Idris.
Sementara itu, Chong pula mencadangkan jawatankuasa itu perlu mengkaji isu itu dari tiga aspek.
“Pertama, sama ada proses sewajarnya diikuti dalam penjualan tanah itu, dan jika tidak, sama ada kerajaan negeri boleh membatalkan perjanjian itu dan menuntut semula tanah itu.
“Kedua, sama ada harga tanah itu berpatutan atau di bawah harga pasaran, dan sama ada terdapat rasuah yang terlibat dalam transaksi itu.
“Ketiga, bagaimana tanah itu dijual walaupun telah diwartakan sebagai rizab lapangan terbang, malah telah mendapat kebenaran merancang,” katanya dipetik.
Terdahulu Pemuda HARAPAN Perak membuat laporan polis bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat penjualan tanah tersebut yang diperuntukkan untuk pembinaan lapangan terbang antarabangsa.
Ketua Pemuda HARAPAN negeri, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, pihaknya mahu siasatan menyeluruh dilakukan segera supaya individu bertanggungjawab dalam isu berkait penjualan tanah itu dibawa ke muka pengadilan.
BACA: Jual tapak lapangan terbang, Pemuda HARAPAN lapor polis
“Kami berharap pihak berkuasa dapat memulakan prosiding untuk menyiasat penjualan tanah ini dan mendedahkan siapa sebenarnya dalang dalam isu ini,” katanya dipetik Utusan Malaysia.
![]() |
PAC Perak digesa segera siasat |
Bagaimanapun, Asmuni Awi - yang merupakan ahli exco negeri dan pengarah PKNP ketika itu - berkata tiada penjualan sedemikian pernah dibincangkan semasa mesyuarat exco negeri atau mesyuarat lembaga PKNP.
0 Comments