Jual tapak lapangan terbang, Pemuda HARAPAN lapor polis


PEMUDA
Pakatan Harapan (HARAPAN) Perak dilapor telah membuat laporan polis bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat penjualan tanah untuk pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar, Perak Tengah.

Difahamkan laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh semalam.

Ketua Pemuda HARAPAN negeri, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, pihaknya mahu siasatan menyeluruh dilakukan segera supaya individu bertanggungjawab dalam isu berkait penjualan tanah itu dibawa ke muka pengadilan.

“Kami berharap pihak berkuasa dapat memulakan prosiding untuk menyiasat penjualan tanah ini dan mendedahkan siapa sebenarnya dalang dalam isu ini,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Tambah Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Perak itu lagi satu lagi laporan akan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat.

“Dakwaan tanah itu telah dijual seperti yang dibangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini menjadi persoalan dan perhatian umum, sebab itu kami buat laporan supaya pihak berkuasa boleh ambil tindakan.

“Saya percaya, polis dan SPRM mempunyai tanggungjawab serta kuasa untuk melaksanakan siasatan ke atas isu penjualan tanah ini.” tegasnya.

Mahu isu penjualan tanah disiasat
Isu penjualan tanah lapangan terbang itu timbul selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Nga Kor Ming mendakwa tanah terbabit sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Baru-baru ini, Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin membuat laporan polis berhubung penjualan tanah itu dan memberi jaminan kerajaan negeri akan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.