HARAPAN digesa kaji semula MoU dengan k'jaan


PAKATAN HARAPAN (HARAPAN) digesa mengkaji semula komitmen terhadap memorandum persefahaman (MoU) dimeterai bersama kerajaan Ismail Sabri Yaakob.

Gesaan itu disuarakan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim susulan keputusan kerajaan menagguhkan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti dalam sidang khas Dewan Rakyat yang asalnya dijadualkan Isnin depan.

Melalui kenyataan, Hassan yang merupakan bekas Pengerusi KEADILAN Johor menegaskan bahawa Majlis Presiden HARAPAN pernah menyatakan kepada umum bahawa jika kerajaan gagal melaksanakan RUU ALP, maka MoU berkenaan akan dibatalkan.

“RUU ALP adalah teras dan intipati dalam MoU.

“Jadi, sekarang adalah “moment of truth” kepada Majlis Presiden HARAPAN. Adakah mereka masih berpegang dengan pendirian berani mereka itu?,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Rabu memaklumkan bahawa RUU itu ditangguhkan setelah Jemaah Menteri tidak bersetuju dengan cadangan RUU Anti Lompat Parti.

Mereka dilapor mahu kajian lanjut berhubung definisi “lompat parti” dijalankan.
 
Mengulas lanjut, Hassan berkata, alasan masalah tafsiran “lompat parti” adalah tidak munasabah dan didakwa merupakan usaha untuk menggagalkan kewujudan Akta Anti Lompat Parti.

Jelasnya, masalah tafsiran “lompat” itu boleh diperbaiki, diperkemas dan diperhalusi dari semasa ke semasa melalui pindaan akta biasa di Parlimen.

“Bukanlah sesuatu yang rumit. Yang penting wujudkan segera Akta Anti Lompat parti sekarang. Bukan esok, bukan lusa. Berlengah-lengah itu sebenarnya adalah dalih untuk mengelak undang-undang antilompat parti berjaya digubal di negara ini,” katanya.

Beliau mendakwa, tindakan menggagalkan Akta Anti Lompat Parti juga adalah “langkah balas dendam” atas kekalahan kerajaan dalam usul berkaitan akta Sosma baru-baru ini yang ditentang sepenuhnya oleh ahli Parlimen pembangkang.

“Kali ini di pihak kerajaan pula ingin melihat RUU ALP digagalkan daripada dibawa ke Parlimen. Perbuatan mereka seperti ‘ibu bapa yang membunuh anak sendiri", katanya lagi.

Alasan penagguhan dianggap remeh
"Kerana apa mereka lompat; sama ada mereka tidak didakwa ataupun mereka dapat jawatan yang lebih baik dari semasa mereka berada dalam parti asal mereka,” katanya di Facebook.

Sementara itu, keputusan kerajaan Ismail menangguhkan RUU itu turut dikritik veteran Umno Shahrir Samad.


Menurut Shahrir, kerajaan sukar untuk membentang dan meluluskan Rang Undang-undang Anti Lompat Parti berikutan Jemaah Menteri juga terdiri daripada “katak politik”.