KENYATAAN Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) telah mengusahakan penstrukturan semula tol untuk empat lebuh raya di Lembah Klang sejak 2002 ditempelak Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
Dalam satu kenyataan, bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu mempersoalkan kecekapan kerajaan BN yang mengambil masa begitu lama untuk mengeluarkan inisiatif tersebut sedangkan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) jelasnya berjaya memuktamadkannya dalam tempoh kurang dua tahun lalu pada 2019.
“Berapa tahun yang diperlukan kerajaan BN untuk memuktamadkan cadangan tersebut?
“Kami ambil masa kurang dua tahun. Dan menteri itu tanpa malu mengakui bahawa mereka telah mengusahakannya selama 16 tahun, dan semuanya dilakukan dalam bilik persembunyian rahsia, kerana tiada siapa yang tahu mengenainya.
“Inilah tahap kecekapan yang boleh kita diharapkan daripada kerajaan BN,” sindirnya.
Majlis presiden HARAPAN sebelum ini berkata penstrukturan semula tol diumumkan Ismail Sabri Yaakob awal minggu ini adalah kesinambungan dasar yang dimulakan oleh gabungan itu semasa ia menerajui kerajaan pusat.
Fadillah kemudian menafikan kenyataan itu dengan menegaskan inisiatif itu telah dilaksanakan sejak 2002 oleh kerajaan BN.
Dalam penstrukturan semula diumumkan kerajaan Ismail, firma swasta Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR Bhd) menawarkan untuk membeli konsesi Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint Highway), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (Smart).
Syarikat ALR Bhd ditubuhkan pada Disember 2021 merupakan syarikat swasta hak milik bersama kumpulan individu yang terdiri dari tokoh koporat. Ia diwujudkan dengan tujuan utama untuk mengawal selia syarikat yang memegang konsesi lebuh raya.
Sementara itu Khalid mengingatkan bahawa cadangan HARAPAN ketika menjadi kerajaan adalah untuk membeli lebih empat lebuh raya tol berkenaan dan memberikan diskaun 30 peratus kepada semua pengguna pada waktu luar puncak manakala pengguna akan dikenakan kadar biasa pada waktu puncak.
Bagaimanapun, katanya, inisiatif semasa akan menyaksikan kerajaan "menyerahkan tol kepada “entiti swasta yang bukan berdasarkan keuntungan” yang tidak dikenali dengan kerajaan tidak akan membayar apa-apa.
“Perbezaannya, sudah tentu, diskaun untuk rakyat dan hakikat bahawa ALR adalah entiti swasta.
"Frasa 'bukan berdasarkan keuntungan ' itu boleh mengelirukan kerana perbelanjaan dan kos operasi boleh dibesar-besarkan dan meningkat untuk menghasilkan keuntungan bersih sifar.
“Lagipun, apa yang akan menghalang ALR daripada menganugerahkan projek besar dan lumayan kepada syarikat kroninya untuk pekerjaan yang dijalankan?” soalnya.
![]() |
Lebih baik k'jaan ambil alih lebuh raya |
Justeru, Khalid berkata adalah lebih baik kerajaan mengambil alih lebuh raya itu sekarang sementara tol masih dikutip bagi memastikan infrastruktur itu terus diselenggara dengan baik dan tiada sebarang kejutan selepas tempoh konsesi.