Khairuddin dedah 'ketempangan' kerjasama PAS dalam PN


BEKAS
setiausaha Majlis Syura Ulama PAS mendakwa parti itu melanggar perlembagaannya berhubung kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Mohd Khairuddin Aman Razali, Ahli Parlimen Kuala Nerus yang mengumumkan keluar dari parti itu kelmarin berkata, kerjasama berkenaan tidak melalui proses penyediaan kertas kerja dan rundingan bersama kepimpinan tertinggi parti itu.

“Dalam PN tak ikut lunas perlembagaan parti, dia (presiden hanya) tandatangan surat…dengan mesyuarat dua, tiga orang sahaja.

“Tandatangan tanpa bawa ke Jawatankuasa PAS Pusat, tanpa kertas kerja ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, tanpa dibawa ke Majlis Syura Ulama untuk dibahaskan, untuk dilihat dari segi siasah syariah, maqasid syariah belum setuju dah lulus. Ini kesilapan,” katanya dalam temu bual disiarkan Bernama TV malam tadi.

Khairuddin dalam temu bual itu turut mendedahkan Presiden PAS telah menyalahkan Majlis Syura Ulama berhubung satu kertas kerja yang berkaitan kerjasama dengan PN.

Jelasnya, ketika menjawat jawatan setiausaha Majlis Syura Ulama, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin turut meminta beliau membuat kertas kerja berkaitan hala tuju parti dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Dalam kertas kerja itu, beliau menggariskan cara untuk menyekat kemaraan Pakatan Harapan (PH) ialah dengan PAS mengikat hubungan bersama Umno dan Bersatu.

“Bahkan bila sebut dalam kertas kerja, kena betulkan bab PN yang tidak dibuat ikut lunas parti, maka presiden letak kesalahan kertas kerja kepada saya.

“Itu kertas kerja Majlis Syura Ulama dan dikritik Majlis Syura Ulama dalam Jawatankuasa PAS Pusat. Bagaimana presiden menyalahkan Majlis Syura Ulama dalam satu medan yang bukan medannya. Yang patut kritik dalam Majlis Syura Ulamalah, bukan dalam Jawatankuasa PAS Pusat. Ini yang berlaku,” katanya.

Sementara itu Khairuddin berkata, PAS cuba mengekalkan Muafakat Nasional (MN) “hanya di mulut” namun kecenderungan sebenar ialah mahu bersama PN yang diketuai Presiden Bersatu, Mahiaddin Md Yassin.

Khairuddin dakwa kerjasama tak lalui proses telus
Sebagai rekod, selepas Tun Dr Mahathir meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri, Mahiaddin membawa keluar parti pimpinannya dari Pakatan Harapan (HARAPAN) dan 'bersekongkol antaranya dengan Ahli Parlimen dari blok yang kalah pilihan raya ketika itu bagi membentuk sokongan membentuk kerajaan walaupun tanpa mandat dari rakyat.

Pentadbiran Ahli Parlimen Pagoh itu hanya bertahan kira-kira 17 setelah beberapa Ahli Parlimen dari Umno menarik kembali sokongan mereka yang menyebabkan Mahiaddin tiada pilihan selain meletak jawatan.


Post a Comment

0 Comments