Krisis DUN Perak 2009 hampir berulang


KRISIS
yang berlaku dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 2009 nyaris berulang kembali hari ini.

Ia susulan berlaku pertelingkahan yang dipercayai bertujuan untuk menyingkirkan speaker Ngeh Koo Ham.

Insiden itu berlaku sebaik Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah selesai menyampaikan titah diraja dan beredar.

Ketika Ngeh menyambung semula sidang,  tujuh lelaki tidak dikenali yang bersut hitam mula mendekati Ngeh dipercayai mahu Speaker itu beredar dari kerusinya.

"Bentara, dengar arahan saya. Tiada undi, tiada keputusan. Saya ada hak untuk letak jawatan (secara betul)," kata ADUN Air Tawar itu yang menggesa tujuh lelaki itu berundur.

Pertelingkahan berterusan selama beberapa minit sehinggalah Ngeh memberi jaminan bahawa beliau akan meletakkan jawatan dengan cara sepatutnya.

Susulan insiden itu, Adun Pasir Pinji Howard Lee dan Adun Pangkor, Zambry Abd Kadir, yang juga bekas menteri besar turut membuat gesaan supaya tujuh lelaki itu mengjormati Speaker dan berundur.

Berdasarkan peraturan, bentara hanya perlu menerima arahan daripada speaker, bukan eksekutif.

Ngeh turut mempersoalkan siapa memberi arahan kepada tujuh lelaki berkenaan dan  turut mengancam akan membuat laporan polis.

"Siapa yang arahkan anda? Ini intimidasi jenayah," kat Ngeh.

Susulan ancaman itu, semua lelaki bersut hitam meninggalkan dewan dan bentara kembali ke tempat duduknya.

Sidang akhirnya diteruskan dengan Ngeh menyampaikan ucapan panjang berkenaan tata kelola dan kedaulatan undang-undang, sebelum mengumumkan peletakan jawatannya.

Ketika ditemui di luar dewan kemudian, Ngeh memberitahu pemberita bahawa lelaki bersut hitam itu telah diarahkan untuk mengheretnya daripada kerusi speaker, jika keadaan memerlukan.

"Mereka tidak sentuh saya, tetapi berada di sebelah...Ia hampir mengulangi krisis Perak 2009," katanya.