POLIS Kelantan mengeluarkan amaran bahawa kesemua 10 jajahan di Kelantan berisiko dilanda banjir.
Ketua Polis Negeri Datuk Hasanuddin Hassan berkata, susulan itu polis mengambil langkah berjaga-jaga sejak Julai lepas termasuk dengan mengadakan latihan termasuk operasi menyelamat dan pengendalian logistik.
"Tiada kawasan khusus (dilanda banjir). Semua kawasan di negeri ini harus dianggap berisiko banjir dan semua anggota perlu bersedia dari aspek mental dan fizikal.
“Justeru, cuti kira-kira 3,000 pegawai dan anggota akan dibekukan (jika perlu),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli siang tadi.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sebelum ini melaporkan negeri-negeri di pantai timur dijangka mengalami empat hingga enam episod hujan lebat bermula awal November hingga Januari depan berikutan kedatangan Monsun Timur Laut (MTL) yang sering mengakibatkan banjir.
BACA: Monsun: K'jaan jangka 1.6 juta penduduk bakal terjejas
Manakala Jabatan Meteorologi pula menjangkakan situasi banjir dinegeri-negeri itu hampir sama dengan keadaan yang berlaku semasa tahun 2016 dan 2017 lalu.
Susulan itu, Hasanuddin menasihatkan masyarakat melakukan persiapan awal untuk berpindah bagi mengelak kesukaran agensi keselamatan memberikan bantuan.
"Begitu juga warga emas yang tinggal seorang diri, seboleh-bolehnya berpindah ke rumah ahli keluarga yang lain bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan sama, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Gua Musang, Mohd Yussalmi Yusoff berkata sebanyak 41 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diwartakan di daerah tersebut sahaja sebagai persiapan menghadapi banjir.
Bagaimanapun tambahnya, ketika ini taburan hujan masih dalam keadaan terkawal.
0 Comments