KETUA PEMBANGKANG di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Menteri Luar mengambil tanggungjawab dengan tampil menjelaskan kegagalan mengurus lawatan Ismail Sabri Yaakob ke Dubai akhir bulan lalu.
Beliau berkata, duta besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan pegawai di peringkat bawah tidak boleh dipersalahkan atas kegagalan itu yang berpunca daripada kecuaian dan kelembapan , Saifuddin Abdullah sendiri.
“Dalam pengalaman saya belasan tahun, sebagai menteri dalam kerajaan dan sebelumnya, belum pernah kita dengar lawatan rasmi perdana menteri tidak disambut oleh negara yang seharusnya mengundangnya.
“Ada satu kecelaruan dalam diplomasi kita dan menteri luar harus bertanggungjawab.
"Dia perlu menjawab kerana belum pernah negara terhina begitu rupa,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu di Facebook.
Media sebelum ini melaporkan pegawai Kementerian Luar Negeri berang selepas dua diplomat kanan Malaysia di UAE diarahkan pulang dan “direhatkan”.
Memetik laporan FMT, sumber memberitahu bahawa Duta Besar, Mohd Tarid Sufian dan Konsul Jeneral di Dubai, Mohd Hasril Abdul Hamid telah ditugaskan untuk menyertai sekumpulan penjawat awam di Jabatan Perkhidmatan Awam, Putrajaya, yang dikatakan menjadi tempat untuk memindahkan pegawai tidak disenangi sementara menunggu arahan seterusnya.
Kedua-dua mereka merupakan dua pegawai kanan yang hadir di lapangan terbang untuk menyambut Ismail ketika penerbangannya mendarat di Dubai tanpa kehadiran pegawai tertinggi UAE.
Kehadiran pegawai tertinggi kerajaan merupakan protokol biasa bagi menteri kanan negara tuan rumah ditugaskan secara rasmi untuk menerima tetamu kenamaan asing.
Salah satu sumber berkata, duta itu telah memaklumkan Wisma Putra mengenai keraguan kerajaan UAE mengenai masa lawatan Ismail tetapi ia tidak diendahkan.
Sumber berkenaan berkata, kerajaan UAE telah memberitahu perwakilan Malaysia bahawa ia bukan masa yang sesuai untuk mengadakan lawatan rasmi memandangkan beratus-ratus orang kenamaan datang dari seluruh dunia setiap hari sempena Ekspo Dunia Dubai 2021.
“Wisma Putra atau menteri luar sepatutnya menasihatkan perdana menteri untuk menjadualkan semula lawatan itu. Ini adalah kelemahan besar kerana melibatkan diplomasi dan reputasi kerajaan,” kata sumber.
![]() |
Saifuddin Abdullah dianggap cuai |
“Sudah tentu pegawai mereka akan menjawab ini adalah pemindahan biasa dan tidak ada kaitan dengan lawatan perdana menteri. Tetapi kakitangan tidak akan mempercayainya,” kata sumber itu dipetik laporan.
0 Comments