Tukang huru harakan kongres akan diambil tindakan


LEMBAGA Disiplin Parti KEADILAN bakal mengambil tindakan terhadap segelintir perwakilan yang sengaja mencetus huru hara dengan meniggalkan Kongres parti itu semalam

Bagaimanapun Ketua Penerangannya, Datuk Seri Shamsul ISkandar Md Akin berkata, perkara itu akan dilaksanakan kemudian selepas berakhirnya Kongres Nasional Keadilan ke-14 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

“Kita tidak pasti sebab apa mereka (meninggalkan kongres), parti akan membawa isu itu kepada jawatan kuasa disiplin untuk diteliti. Tetapi hari ini kita masih dalam kongres,” katanya ketika ditemui pemberita.

Terdahulu, sekitar 100 orang perwakilan termasuk beberapa pemimpin yang pro- Mohamed Azmin Ali dilihat meninggalkan dewan itu sambil melaungkan perkataan “Balik!”

Difahamkan, kumpulan perwakilan berkenaan tidak puas hati kerana pembahas yang terpilih banyak menyerang kumpulan ‘Kartel’ gelaran kepada pasukan dan penyokong kepada Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ia berlaku sebaik sesi perbahasan disambung ketika perwakilan mula masuk semula ke dalam dewan selepas sesi rehat selama 2 jam.

Antara yang dilapor meninggalkan dewan itu ialah  Tian Chua, serta Timbalan Ketua Wanita Nasional, Dr Daroyah Alwi serta beberapa pemimpin utama dari Sarawak.

Tian Chua ketika ditemui pemberita, menafikan beliau meninggalkan kongres itu sebagai tanda protes, sebaliknya menjelaskan beliau perlu berjumpa dengan seseorang.

“Tiada boikot, saya cuma mahu jumpa seseorang,” katanya lagi.

Bagaimana pun, bekas Ahli Parlimen Batu itu dilihat duduk di sebelah Azmin dalam satu sidang media mengkritik Anwar di Hotel Ames di Ayer Keroh tidak lama selepas insiden keluar beramai-ramai itu.

Sebelum ini kongres sayap pemuda parti itu digemparkan dengan insiden rempuhan yang dipercayai turut melibatkan kumpulan penyokong Azmin.

Post a Comment

0 Comments