Doa rakyat teraniaya tiada dinding - titah Sultan Perak

PERGELUTAN politik di negeri Perak yang menyaksikan pelantikan Menteri Besar dilakukan sebanyak tiga kali sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 merupakan satu kegagalan.

Demikian titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak ke-14 di Istana Iskandariah, hari ini.

Menurut baginda, istiadat kali ketiga yang mencatatkan sejarah baru itu tidak pernah berlaku dalam sesuatu penggal Dewan Undangan Negeri Perak sebelum ini

“Tetapi perkara ini bukanlah sejarah yang mahu dibanggakan; perkara yang berlaku akan tercatat dalam sejarah sebagai cerminan kegagalan dan bukannya kejayaan.

“Kegagalan kepimpinan dalam kalangan ahli-ahli politik mendapat jaminan sokongan padu secara konsisten untuk membolehkan fikiran dan tenaga ditumpukan mentadbir urus negeri secara terbaik bagi kepentingan rakyat,” titah baginda.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Saarani Mohamad mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar ke-14 di hadapan baginda.

Pelantikan Saarani dibuat susulan penyingkiran ADUN Chenderiang, Ahmad Faizal Azumu melalui undi percaya di Dewan Undangan Negeri.

Sebagai rekod, Ahmad Faizal yang merupakan Naib presiden Bersatu mengangkat sumpah jawatan menteri besar sebanyak dua kali, pertama pada tahun 2018 selepas PRU14 sebagai ketua kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN . Dia sekali lagi pada Mac tahun ini mengangkat sumpah jawatan sebagai ketua kerajaan Perikatan Nasional pula setelah pentadbiran HARAPAN dijatuhkan melalui langkah Sheraton .

Sementara itu dalam titahnya juga, Baginda Sultan mengingatkan tanggungjawab wakil rakyat yang dipilih kepada rakyat berbilang bangsa di negeri itu.

Baginda mengingatkan bahawa sifat sebenar seseorang itu akan terserlah ketika beliau mendapat jawatan, kuasa, kekayaan dan harta, sehingga lenyapnya budaya kesederhanaan dan merendah diri, di sebaliknya menjelma sifat sombong dan gelagat bongkak.

"Semua rakyat di negeri ini, Melayu, Orang Asli, Cina, India; Islam, Kristian, Hindu dan Buddha, ialah makhluk ciptaan Ilahi; kesemua mereka rakyat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak; kesemuanya mahukan sebuah negeri yang aman lagi makmur, dengan pemerintahan yang melaksanakan keadilan dan membina kerukunan, agar rakyat hidup dalam semangat saling menghormati penuh harmoni.

 Sultan ingatkan pemimpin pada tanggungjawab
"Rakyat jelata, terutama dalam kalangan berpendapatan rendah dan miskin, rakyat yang semakin ramai kehilangan pekerjaan dan pendapatan akibat pandemik Covid-19, jangan dijadikan kancil yang mati tersepit kerana gajah yang tidak berhenti-henti beradu.

"Doa rakyat yang merasakan diri mereka teraniaya tidak ada dinding untuk dimakbulkan Ilahi, janganlah rakyat dianiayai kerana dipengaruhi emosi berdendam dan pemikiran politik yang jumud," titah baginda lagi.

Post a Comment

0 Comments