Kepulangan Rafizi mampu rancakkan kembali pentas politik negara


KEPUTUSAN
bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli untuk kembali aktif ke gelanggang politik mampu merancakkan semula suasana politik negara, kata Menteri Besar Negeri Sembilan.

Datuk Seri Aminuddin Harun pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini pada Rabu berkata, Rafizi selain terkenal dikalangan rakyat susulan banyak pendedahan dibuatnya juga mempunyai pengaruh tersendiri dalam parti.

"Eloklah ramai-ramai balik semula dan kita perlukan semua kepimpinan sama ada kepimpinan lama atau muda untuk sama-sama kembali.

"Kita sedia maklum bahawa masing-masing ada pengaruh dan saya harap dengan kembalinya beliau akan rancakan semula suasana politik," kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri(MPN) KEADILAN Negeri Sembilan itu.
 
Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan Rafizi untuk kembali ke dalam gelanggang politik selepas mengumumkan untuk 'bersara' pada tahun 2019 kerana mahu memberi tumpuan kepada usaha mendalami ilmu pengetahuan berkaitan teknologi terkini.

Rafizi turut mengumumkan untuk mencabar jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti itu nanti.

"Itu tawaran beliau kepada ahli KEADILAN dan sesiapa pun boleh mula berikan tawaran kerana parti ada pemilihan parti tahun ini.

"Saya alu-alukan sesiapa pun untuk tawarkan diri dalam pemilihan parti kali ini kerana kita mengamalkan dasar demokrasi," ujarnya ketika ditanya mengenai keputusan Rafizi untuk bertanding itu.

Selain itu, Aminuddin juga berkata, suasana politik negara ketika ini kelihatan agak hambar, dalam beberapa siri pilihan raya yang diadakan rakyat katanya tidak lagi menunjukkan minat untuk mengundi.

Ujarnya, beliau mahu melihat lebih ramai rakyat kembali memahami apa itu demokrasi dan apa itu pilihan raya pada masa akan datang.

Sebagai rekod, Rafizi dilihat sebagai antara individu yang memainkan banyak peranan menarik sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Rafizi antara ahli politik paling berpengaruh
Rafizi tidak bertanding pada PRU lalu untuk memberi laluan kepada Presiden parti ketika itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail bertanding dikerusi dimenanginya.

Walau bagaimanapun, semasa kempen pilihan raya lalu, Rafizi memainkan peranan dengan membekalkan data-data bagi menenangi pilihan raya dan berkempen di kawasan-kawasan marginal.

Beliau turut dianggap sebagai salah seorang 'orang penting' disebalik kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) menjatuhkan UMNO-BN pada PRU 2018 itu.

Post a Comment

0 Comments