KADAR zakat fitrah bagi umat Islam di Selangor tahun ini kekal RM7 seperti tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Saipolyazan M Yusop berkata, ia selaras dengan kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengekalkan kadar zakat fitrah pada tahun ini.
“Penetapan kadar zakat fitrah RM7 berdasarkan harga bagi 2.6kg beras Super Tempatan Gred A yang lazimnya digunakan masyarakat di Selangor,” katanya dalam satu sidang media.
Sementara itu, LZS menggalakkan golongan berkemampuan menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungan.
“Kadar zakat fitrah sebanyak RM14.00 seorang bagi individu yang makan beras putih import, beras perang, beras pulut, herba ponni, atau beras wangi, atau RM21.00 seorang bagi individu yang makan beras basmathi, beras Jepun, atau beras merah,” katanya.
Dalam pada itu, LZS memberitahu, penularan wabak koronavirus (Covid-19) telah menyebabkan ramai orang Islam hilang punca pendapatan dan mungkin termasuk dalam golongan tidak berkemampuan.
Justeru, individu yang terbatas kemampuan ekonomi ketika ini boleh menunaikan kewajipan zakat fitrah mengikut kemampuan diri dan keluarga.
“Sekiranya lebihan yang ada itu hanya mencukupi untuk menunaikan zakat, hendaklah dikeluarkan zakat fitrah sekadar sebahagian sahaja daripada ahli keluarganya,” kata Saipolyazan.
Sementara itu, LZS menyediakan pelbagai platform pembayaran dalam talian yang lebih pantas dan selamat, bagi memudahkan umat Islam terutama semasa PKP antaranya melalui EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my
Mereka turut boleh membayar melalui perbankan internet di 9 bank iaitu Public Bank, Hong Leong Bank,Maybank, CIMB, Ambank, Bank Rakyat, RHB, Bank Islam dan Alliance Bank
0 Comments