Prosiding ketepi sabitan Azilah dibatalkan


MAHKAMAH
Persekutuan hari ini membatalkan prosiding permohonan bekas pegawai polis, Azilah Hadri mengetepikan sabitan hukuman mati kerana membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Timbalan Pendakwaraya, Mohd Duzuki Mokhtar berkata Timbalan Pendaftar Azniza Mohd Ali memberikan notis menerusi surat minggu lepas memaklumkan prosiding yang dijadualkan hari ini akan dibatalkan.

Peguam Azilah, J Kuldeep Kumar mengesahkan perbicaraan ditangguhkan.

Memetik laporan media, tiada sebab jelas diberikan. Bagaimanapun, is dipercayai ada kaitan dengan perintah kawalan pergerakan yang sedang berkuatkuasa .

Difahamkan, semua pihak akan dimaklumkan tarikh baru prosiding itu kemudian.

Azilah memfailkan semakan itu mengikut Peraturan 137 Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan pada Disember untuk mengetepikan pensabitannya pada 2015 dan mengesahkan perbicaraan semula bagi mengelakkan ketidakadilan.

Bekas pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) itu yang menunggu hukuman gantung, sebelum ini membuat pengakuan mengejutkan dalam Akuan Bersumpahnya (SD) bertarikh 17 Oktober lalu yang mendakwa  Najib Razak mengarahkannya membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, pada 2006.

Azilah, 42, turut mendakwa Najib yang merupakan Timbalan Perdana Menteri (TPM) ketika itu turut mengarahkannya melupuskan mayat wanita itu.

Seorang individu yang rapat dengan Najib,  Abdul Razak Baginda, yang dibebaskan, dan bekas pegawai kanan polis, Musa Safri dakwanya sedar akan “arahan” daripada Najib itu.

“TPM menyatakan bahawa perkara ini tidak boleh diketahui umum kerana ia membabitkan ancaman kepada keselamatan negara.

“TPM kemudiannya mengarahkan saya untuk jalankan operasi sulit untuk tangkap dan hapuskan perisik tersebut dengan sulit dan musnahkan mayatnya.

“Saya bertanya kepada TPM apa yang dimaksudkan dengan tangkap dan hapuskan perisik asing terbabit dan TPM menjawab, shoot to kill sambil menunjukkan isyarat memotong leher. Apabila ditanya berkenaan maksud musnahkan mayat perisik asing terbabit, TPM menjawab, ‘lupuskan mayat perisik asing hilangkan kesan,” katanyamelalui SD tersebut.