NGO India dakwa Waytha Moorthy amal kronisme


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy didakwa mengamalkan budaya kronisme.

Memetik laporan oleh FMT, sebuah  Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) komuniti India tampil mendesak supaya Majlis Penasihat Hal Ehwal Masyarakat (IAAC) menyiasat pengagihan peruntukan untuk golongan B40 kaum itu yang dikendalikan oleh Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra).

Wakilnya Dayalan Sreebalan daripada Malaysian Indian Action Force (Miaforce) mendakwa Waytha Moorthy mengagihkan dana tersebut kepada “kroni” beliau.

"Kami ada bukti menteri perpaduan (Waytha Moorthy), menyalah guna kuasa dengan beri dana ini kepada kroni beliau.

“Kami ada hak untuk persoal Wayta sebab ini duit rakyat. Beliau tak sepatutnya kata hanya akan menjawab kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad,” katanya pada sidang media

pertubuhan itu sebelumnya memorandum kepada ahli Parlimen Batu, P Prabakaran di Kuala Lumpur.

Dalam memorandum 4 muka surat itu, Dayalan bersama 6 lagi pemimpin NGO komuniti India mendakwa 10 syarikat menerima dana daripada Mitra meskipun tiada kebenaran daripada pusat latihan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan kelayakan melaksanakan Pentauliahan Pengalaman Terdahulu (PPT).

Beliau juga mendakwa pengarah salah sebuah syarikat tersebut merupakan penyelaras parti Wayta, iaitu Malaysian Advancement Party (MAP).

“Kami dapat fakta iaitu pengarah sebuah syarikat yang menerima dana kerajaan ini merupakan koordinator kepada MAP. Jumlah diberi kepada syarikat ini besar, iaitu hampir RM1 juta. Syarikat itu tidak mempunyai pengiktirafan PPT.

“Kami juga dapati menteri memberi RM450,000 kepada persatuan kebajikan rakan beliau untuk mengendalikan tuisyen di Johor Bahru. Dana itu terlalu besar untuk tuisyen.

“Perkara sebegini tak seharusnya berlaku di bawah kerajaan baru. Kerajaan sepatutnya lebih telus untuk mengagihkan dana,” kata wakil pertubuhan itu lagi.

Sementara itu, Prabakaran yang juga ahli IAAC berkata, beliau akan menyemak fakta dakwaan tersebut dan membawanya ke mesyuarat IAAC bulan depan.

Post a Comment

0 Comments