TIGA nelayan yang dilaporkan hilang selepas keluar menangkap ikan di perairan Sabah sejak selasa lalu ditemui.
Memetik laporan Awani, kesemua mereka ditemui dalam keadaan selamat petang tadi.
Timbalan Pengarah Zon Maritim (Operasi) Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil berkata, ketiga-tiga mangsa dijumpai di posisi 22 batu nautika dari Tanjung Kidurong pada jam 3.05 petang oleh nelayan lain yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu sejak kes dilaporkan.
"Bot yang dinaiki mangsa terbabit telah ditunda balik oleh bot nelayan lain tiba di jeti Pasukan Polis Marin (PPM Kemena) pada jam 4.35 petang," katanya dalam kenyataan di sini.
Difahamkan, punca kehilangan tiga nelayan tersebut adalah disebabkan enjin bot rosak.
Menurut Effendy, keadaan semua mangsa dilaporkan baik cuma mereka agak kelaparan selepas kehabisan bekalan makanan.
Terdahulu, ketiga-tiga nelayan terbabit dilaporkan hilang selepas keluar menangkap ikan di laut dengan menaiki sebuah bot pada jam 3 pagi Selasa lalu dan sehubungan itu operasi SAR dijalankan pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching
Berikutan penemuan mangsa, operasi SAR telah ditamatkan pada 4.40 petang.
0 Comments