Tak pernah benar bawa pulang abu mayat Chin Peng


KERAJAAN tidak menerima apa-apa permohonan untuk membawa masuk abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bercakap selepas merasmikan satu program di Shah Alam siang tadi, Dr Wan Azizah berkata,  kementerian berkaitan telah diarahkan untuk melakukan siasatan berhubung perkara itu.

"Kita tidak pernah menerima permohonan atau apa-apa tentang membawa balik abu mendiang Chin Peng.

"Kita fikirkan ada sensitiviti, ada juga jasa dan pengorbanan perwira dulu. Jadi kita tengok (siasatan) bagaimana," katanya

Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan, melaporkan abu mayat pemimpin PKM itu sudah dibawa masuk ke negara ini pada 16 September lepas, walaupun kerajaan kekal dengan dasar melarang abu mayat Chin Peng dibawa masuk.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata,  kerajaan tidak pernah membenarkan abu mayat Chin Peng, dibawa pulang ke Malaysia.

Beliau berkata berdasarkan panduan membawa balik dan keluar abu mayat, ahli keluarga atau sesiapa sahaja perlu memaklumkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Persoalannya adakah pihak terbabit telah memaklumkan perkara itu atau ia diseludup masuk ke negara kita dengan tidak diketahui pihak berkuasa.

“Yang pasti, kita tidak mengetahui langsung (abu Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia). Kita hanya tahu selepas keluarga atau sahabat handai membuat kenyataan,” katanya kepada Bernama, di Bangkok hari ini.
 

Post a Comment

0 Comments