Peguam keluarga Altantuya gesa siasat SD Azilah


PIHAK
berkuasa mesti menyiasat tanpa pilih kasih atau rasa takut apa yang didedahkan bekas anggota polis, Azilah Hadri berhubung pembunuhan Altantuya Shaariibuu dalam Akuan Bersumpah (SD) nya.

Peguam keluarga wanita Mongolia tersebut,  Ramkarpal Singh membuat gesaan itu susulan pendedahan Azilah bahawa beliau diarahkan bekas perdana menteri, Najib Razak untuk melakukan pembunuhan itu pada tahun 2006.

"Jika dakwaan itu terbukti benar, mesti ada pendakwaan terhadap mereka yang terlibat walaupun Azilah dan Sirul Azhar Umar telah disabitkan oleh Mahkamah Persekutuan kerana melakukan pembunuhan itu.

"Tiada tempoh had dalam kes-kes jenayah dan seseorang boleh didakwa atas suatu kesalahan walaupun telah berlalu lama, dengan syarat terdapat bukti untuk menyokong pendakwaan berkenaan.

"Keluarga Altantuya telah selama bertahun-tahun, menuntut siasatan terperinci terhadap persoalan siapa mengarahkan pembunuhan tersebut pada tahun 2006, terutamanya apabila Azilah dan (seorang lagi bekas anggota UTK) Sirul (Azhar Umar) tidak mempunyai motif dalam berbuat demikian.

"Pendedahan Azilah dalam SD yang diperkatakan memang mengejutkan dan keluarga Altantuya akan memohon kepada Mahkamah Persekutuan untuk bertindak sebagai pemerhati dalam permohonan semakan di Mahkamah Persekutuan.

"Antara lain, kami juga akan mengambil langkah yang perlu untuk meminda saman sivil keluarga Altantuya yang kini sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk memasukkan dakwaan yang terkandung dalam SD tersebut dan hasil siasatan polis daripadanya, "kata Ramkarpal.

Azilah memfailkan SD berkenaan sebagai usaha agar Mahkamah Persekutuan menyemak semula keputusan yang mensabitkannya bersalah dan menjatuhkan hukuman mati kepadanya dan Sirul Azhar kerana membunuh Altantuya pada tahun 2006.

Semakan tersebut ditetapkan bagi pengurusan kes di hadapan pendaftar Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman esok.

Tambah Ramkarpal, polis boleh bertindak ke atas SD Azilah untuk memulakan siasatan baru ke atas pembunuhan itu berbanding menunggu laporan polis baharu dibuat.

"Kenyataan terbaru sekarang perlu diambil dari Azilah sendiri dan orang-orang yang dia libatkan dalam SD yang diperkatakan, termasuk Najib dan saya menggesa Ketua Polis Negara (Abdul) Hamid Bador berbuat demikian dengan serta-merta memandangkan betapa seriusnya dakwaan yang diperkatakan.

"Misteri tentang siapa mengarahkan pembunuhan Altantuya mesti diselesaikan dan perkembangan hari ini boleh menjadi satu langkah penting ke arah itu.

"Keluarga Altantuya tidak akan berdiam sehingga motif dan personaliti di sebalik pembunuhan kejamnya didedahkan dan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan," tegas Ramkarpalseperti dilapor Malaysiakini.

Post a Comment

0 Comments