SITUASI banjir di negeri Pahang dan Sabah dilapor semakin buruk malam tadi apabila jumlah mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat.
Raub di Pahang menjadi daerah ketiga di negeri itu yang dilanda banjir selepas Rompin dan Temerloh. Jumlah mangsa dipindahkan setakat 10. 30 malam tadi adalah sebanyak 1,206 orang daripada 339 keluarga.
Sebanyak 11 PPS telah dibuka setakat malam tadi.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), di Raub, walaupun keadaan banjir tidak serius sebanyak 56 orang daripada 15 keluarga diarahkan berpindah ke Dewan Kampung Kuala Gali dan Masjid Baru Kampung Ajai sebagai langkah berjaga-jaga.
Di Rompin pula, jumlah mangsa meningkat kepada 1,127 orang daripada 320 keluarga berbanding 1,044 mangsa daripada 269 keluarga petang tadi.
Keadaan banjir di Temerloh pula tidak berubah dengn 23 orang daripada empat mangsa masih ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Paya Luas.
Sementara itu di Sabah, hujan lebat berterusan menyebabkan mangsa banjir meningkat mendadak di Kudat dengan mencatatkan peningkatan kepada 855 mangsa daripada 263 keluarga, berbanding 40 mangsa daripada 11 keluarga pada petang tadi.
Kesemua mangsa daripada Kampung Naradang, Kampung Korina, Kampung Purina dan Kampung Andab Bangau ditempatkan di PPS di SK Sikuati, Kudat.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM), lima jalan di daerah itu turut ditenggelami air, namun tiga daripadanya masih boleh dilalui oleh semua kenderaan.
0 Comments