PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin mengingatkan syarikat berkaitan kepentingan bumiputera supaya tidak mengkhianati amanah yang diberikan.
Bercakap pada Majlis Pelancaran Unit Tambahan Skim Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) di Kuala Lumpur, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, kerajaan pernah berdepan "pengalaman buruk" kerana terpaksa memberi suntikan tambahan kepada syarikat tertentu.
Sintukan tambahan itu jelasnya berlaku akibat kelemahan tadbir urus dan terpaksa diberikan bukan hanya bagi menyelamatkan syarikat, namun pegangan bumiputera dalam syarikat terbabit.
"Satu pihak pengurusannya itu amat bobrok, sehingga merosakkan dan merugikan. Pengalaman ini menyakitkan, kerana kita lihat umpamanya Felda memerlukan suntikan RM8.3 bilion kerana pengurusan dan tatakelola lemah.
"Kita ada lagi yang melibatkan syarikat yang memerlukan suntikan RM2.7 bilion daripada kerajaan untuk menyelamatkan daripada terlepas daripada tangan bumiputera," katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata keadaan sama turut berlaku kepada Tabung Haji sebelum ini yang berdepan masalah kerugian aset walaupun kini pengurusannya bertambah baik.
0 Comments