Cemerlang di WTCR, Hafizh buktikan dirinya serba boleh


KEJUARAAN Piala Touring Car Dunia (WTCR) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Ahad menyaksikan dua wakil negara beraksi cemerlang

Hafizh Syahrin Abdullah dan Mitchell Cheah yang beraksi menerusi tiket wildcard bersama Hyundai Team Engstler mampu memberi saingan sengit kepada pelumba lebih berpengalaman.

Hafizh Syahrin yang lebih sinonim dengan perlumbaan motosikal serta beraksi di kelas perdana MotoGP musim ini tampak tidak kekok walaupun beraksi dalam kejuaraan Kejuaraan Dunia Endurance (EWC) sehari sebelumnya.

Pada perlumbaan penuh aksi semalam, Hafizh mengakhiri perlumbaan 1 di tempat ke-25 manakala perlumbaan 2 di kedudukan ke-22.

Mitchell yang juga rakan sepasukan Hafizh Syahrin dalam pasukan tersebut pula menamatkan perlumbaan 1 di kedudukan ke-19 dan melonjak ke kedudukan ke-16 untuk perlumbaan 2.

Pencapaian berkenaan menyaksikan Mitchell muncul pemandu wild card terbaik dalam perlumbaan 2.

Sementara itu, Hafizh mengakui berdepan kesukaran terutama pada perlumbaan pertama kerana ia adalah pengalaman pertamanya beraksi bersama pemandu terbaik dunia tambahan dalam cuaca hujan.

"Saya agak bergelut di awal perlumbaan. Tetapi selepas itu saya mula memahami rentak perlumbaan dan cuba mengejar kelompok hadapan.

"Tapi apabila saya terus mencuba saya menemui rentak perlumbaan. Saya gembira kerana dapat memberikan tekanan kepada pemandu lain dan sedikit demi sedikit menghampiri mereka," katanya.

Pada perlumbaan 1 hari ini, Norbert Michelisz yang mewakili pasukan BRC Hyundai N Squadra Corsa menjuarai perlumbaan pertama selepas melengkapkan 10 pusingan dengan catatan masa 26:02.896.

Aurelien Panis dari Comtoyou DHL Team Cupra Racing di tempat kedua (26:05.342) manakala Gabriele Tarquini dari BRC Hyundai N Squadra Corsa ketiga (26:12.905).

Esteban Guerrieri dari ALL-INKL.COM Munnich Motorsport menjuarai perlumbaan 2 dengan catatan masa 1:28:45.146 manakala pemandu pasukan ESP PWR Racing, Mikel Azcona di tempat kedua (1:28:46.169) sementara Johan Kristoffersson yang berlumba untuk pasukan Sebastien Loeb Racing Volkswagen ketiga (1:28:46.514).

'Races of Malaysia' yang dianjurkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sejak Jumaat lalu menyajikan dua perlumbaan eksklusif membabitkan aksi dua roda dan empat roda serentak. 


Dengan berakhirnya dua perlumbaan itu, Hafizh mencipta rekod sebagai pelumba yang bertanding dalam kedua-dua perlumbaan berkenaan. 

Membuktikan dirinya atlit serba boleh, Hafizh sebelum ini turut membuktikan cemerlang dalam perlumbaan basikal dan perlawanan bolasepak amatur

Post a Comment

0 Comments