MENTERI Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal menasihati penduduk negeri itu agar lebih berhati-hati sepanjang musim tengkujuh yang melanda.
Sambil menyuarakan rasa khuatir kemungkinan berlaku gelombang seterusnya banjir pada hujung bulan ini, Sahruddin menegaskan agar masyarkat sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa jika kawasan kediaman mereka dilanda banjir.
“Saya dapat tahu hujung bulan ini ada satu lagi gelombang (banjir). Jadi, saya harap semua masyarakat lebih berhati-hatilah,” kata beliau kepada media selepas melakukan tinjauan udara dengan helikopter jenis AW 189 Agusta milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor di beberapa daerah, semalam.
Tinjauan dilakukan di kawasan Johor Bahru, Mersing dan Pengerang di Kota Tinggi dengan turut disertai Pengarah JBPM Johor Datuk Yahaya Madis.
Sementara itu, Yahaya berkata, keadaan banjir kini terkawal kerana ada daerah yang air sudah mulai surut.
“Yang kita nampak cuma ada jalan utama menghubungkan Kota Tinggi ke Mersing masih terputus dan kawasan Kampung Mawai masih lagi digenangi air dan tidak selamat.
“Kita berharap dengan cuaca yang baik seperti hari ini, keadaan akan semakin pulih,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, helikopter jabatan itu bakal digunakan untuk memantau keadaan banjir selain melakukan beberapa penerbangan ihsan termasuk menghantar bekalan makanan kepada penduduk.