Jumpa mayat wanita dengan ditikam di leher


SEORANG wanita warga Myanmar ditemukan mati berlumuran darah di sebuah apartment di Butterworth, malam ini.

Wanita itu disyaki dibunuh suaminya yang juga dari negara sama.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor yang dipetik Bernama berkata mayat mangsa, Yoon Hati Htike, 29, yang bekerja sebagai pembantu klinik ditemukan dalam bilik utama rumah sewa itu selepas polis memanggil pemilik rumah berkenaan untuk membuka kediaman tersebut selepas wanita itu tidak datang bekerja sejak tiga hari lepas.

"Polis menerima laporan daripada majikan wanita itu memaklumkan mangsa tidak hadir bekerja dan gagal menghubunginya sebelum kami berjaya mengesan alamat rumah wanita tersebut kira-kira pukul 8 malam ini serta memanggil pemilik rumah untuk membukanya kerana berkunci," katanya.

Beliau berkata sebaik rumah itu berjaya dibuka, terdapat kesan darah di beberapa tempat di situ dan polis membuat pemeriksaan sebelum menemui mayat wanita tersebut dibungkus dalam selimut serta diletakkan di bawah katil di bilik utama kediaman berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan polis menemui pisau yang digunakan untuk membunuh mangsa masih tercucuk di lehernya dan terdapat juga beberapa kesan tikaman di badan wanita itu.

Noorzainy berkata wanita itu dipercayai telah meninggal dunia lebih 48 jam dan suaminya yang juga berusia 29 tahun dipercayai melarikan diri selepas kejadian tersebut.

polis turut percaya motif pembunuhan ialah cemburu.

"Mangsa dan suaminya menyewa di rumah itu sejak empat bulan lepas. Mereka berdua merupakan pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR)," katanya.

"Mayat wanita itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh," katanya.
 

Post a Comment

0 Comments