Lepas air terjun, pantai pula tercemar kerana aktiviti kuari di Perak


PERSATUAN Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) mendakwa Pantai Teluk Akuan, Segari di kawasan Hutan Simpan Segari Melintang, dekat Beruas, Perak tercemar.

Timbalan Presidennya, Ismady Radzuan berkata anak sungai di selatan Pantai Teluk Akuan didapati berubah warna dipercayai kesan daripada aktiviti kuari di Kompartmen 22 hutan tersebut yang merupakan Hutan Simpanan Kekal.

“Kami (Kuasa) masuk ke dalam (hutan) ikut laluan anak sungai dan mendapati tanah merah terhakis, memenuhi sebahagian hutan simpan hingga mengakibatkan sesetengah kawasan ada pokok mati akibat timbunan tanah merah dari bukit di kompartmen 22.

"Tanah merah ini kemudian dibawa air mengalir masuk ke bahagian selatan Pantai Teluk Akuan dan ke laut," katanya dalam satu kenyataan.

Pendedahan itu menyusul laporan sebelum ini berhubung kerosakan dikesan di Air Terjun Tanjung Batu dan kawasan sekitarnya ekoran aktiviti kuari serta pembersihan hutan dikesan di lokasi terbabit sejak Julai tahun lalu.

Sementara itu, Ismady berkata Pantai Teluk Akuan wajar terus dijaga kerana ia merupakan kawasan persinggahan nelayan untuk mendapatkan air bersih dari air terjun berhampiran selain tempat berlindung daripada angin kencang.

Selain itu, katanya Pantai Teluk Akuan juga merupakan antara pantai pendaratan penyu berdasarkan maklumat daripada nelayan tempatan.

 Pantai Teluk Akuan tempat pendaratan penyu


Dalam perkembangan berkaitan,  Sahabat Alam Malaysia (SAM) meminta kerajaan negeri Perak tidak meluluskan lesen baharu bagi aktiviti kuari berhampiran Hutan Simpan Segari Melintang yang pada ketika ini menimbulkan banyak kerosakan dan kemusnahan alam.

Pegawai lapangannya, Meor Razak Meor Abd Rahman berkata, sudah pasti ada beberapa pihak yang ketika ini memohon kebenaran atau akan memohon kebenaran untuk menjalankan aktiviti kuari di kawasan itu.

 

Post a Comment

0 Comments