SEBUAH pesawat ringan yang membawa presiden dan empat pemain sebuah kelab bola sepak Brazil, Palmas terhempas di Tocantins.
Jurucakap kelab itu dalam satu kenyataan pada Isnin berkata pesawat malang tersebut tiba-tiba terhempas di hujung landasan ketika sedang berlepas.
Difahamkan, kesemua mereka dalam perjalanan ke Goiania, kira-kira 800 kilometer bagi menentang kelab Vila Nova dalam merebut kejuaraan piala Copa Verde.
Mangsa yang maut ialah Presiden kelab bola sepak itu, Lucas Meira dan pemain Lucas Praxedes, Guilherme Noe, Ranule dan Marcus Molinari, serta juruterbang yang hanya dikenali sebagai Wagner turut terbunuh.
"Kami sedih untuk memberitahu bahawa tiada yang selamat dalam kemalangan berkenaan," menurut jurucakap kelab itu.
Kemalangan itu turut menarik perhatian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“FIFA ingin merakamkan ucapan takziah kepada kelab Palmas FR dari Brazil. Kami turut bersimpati terhadap keluarga mangsa-mangsa yang terlibat pada saat yang sukar ini,” kata FIFA dalam satu kenyataan.
![]() |
Pesawat terhempas ketika berlepas |
Sementara itu difahamkan, pihak berkuasa negara itu sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.
0 Comments