Anwar gesa benar pengeluaran KWSP lepas mangsa banjir dakwa terabai


PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan menyegerakan kebenaran pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Gesaan itu dibuat setelah Presiden KEADILAN itu mendengar banyak keluhan mengenai kesusahan dihadapi rakyat dalam siri jelajah kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor terutama apabila kerajaan disifatkan gagal menyelesaikan isu banjir yang mengakibatkan kerugian kepada ramai orang.

“Saya terus mendengar keluhan di kalangan rakyat yang hari ini berada dalam keadaan yang amat terdesak dan menekan, terutamanya dalam jelajah saya di seluruh Johor yang sedang berlangsung.

“Saya kini mendukung agar pengeluaran ini dibenarkan sesegera mungkin dan tanpa ada apa-apa halangan dan kerenah birokrasi. Kerajaan juga mesti ambil kira nasib golongan rakyat yang tidak mencarum,” kata Anwar dalam kenyataannya semalam.

Mengulas soal pandangan berbeza berhubung pengeluaran KWSP di Dewan Rakyat awal tahun lalu, Anwar menegaskan beliau ketika itu agak keberatan untuk mendukung kebenaran pengeluaran simpanan itu kerana akan memberi kesan kepada simpanan mereka pada masa hadapan.

Anwar dengar keluhan rakyat
Pada masa itu katanya dia meletakkan syarat kepada kerajaan agar mereka dapat menampung kerugian yang dialami mangsa banjir sekiranya Putrajaya enggan untuk membenarkan pengeluaran KWSP.

Setelah berbulan-bulan berlalu, katanya, kerajaan dilihat tidak mempedulikan desakan tersebut.

"Justeru, setelah kami melihat kerajaan seolah-olah tidak ada jalan untuk merungkai kegagalan ini, saya kini mendukung saranan agar pengeluaran KWSP dibenarkan segera," katanya.

 

Post a Comment

0 Comments