AHLI PARLIMEN Pasir Gudang melahirkan rasa kesal dengan apa yang disifatkannya sebagai pelanggaran ke atas amalan demokrasi berparlimen semasa krisis menteri besar Johor.
Hassan Karim, yang jelas merujuk kepada apa yang berlaku ke atas bekas menteri besar Johor, Hasni Mohammad, berkata rakyat telah memberi mandat besar kepada pengerusi UMNO Johor itu untuk terus menerajui kerajaan negeri.
Bagaimanapun, katanya, di sebalik kejayaan Hasni memimpin UMNO-BN meraih kemenangan lebih dua pertiga pada pilihan raya minggu lalu, namun pihak istana katanya telah memilih untuk melantik seorang menteri besar yang bukan pilihan majoriti rakyat.
"Rakyat Johor telah memberi mandat yang besar dengan majoriti melebihi dua pertiga untuk membentuk sebuah kerajaan rakyat yang akan dipimpin oleh seorang Menteri Besar Johor yang telah dinamakan secara tersurat dan tersirat sepanjang kempen PRN.
"Tetapi selepas parti politik yang diketuai di peringkat negeri oleh calon Menteri Besar itu menang besar, namun pihak Sultan tidak memilih calon pilihan majoriti rakyat itu sebagai Menteri Besar Johor, sebaliknya memilih calon lain yang bukan pilihan rakyat Johor.
"Ini jelas bermakna calon Menteri Besar pilihan rakyat ditolak oleh pihak istana.
“Hal kejadian ini amat malang kerana nyata sekali suatu pelanggaran telah berlaku ke atas amalan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang menjadi asas Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara bagi tanahair kita, Malaysia,” kata Hassan dalam satu kenyataan.
Isu pelantikan Menteri Besar baharu menjadi tumpuan, selepas tiga hari UMNO-BN memenangi PRN itu, Hasni tidak dinamakan sebagai Menteri Besar.
Hasni putih mata selepas tak diberi peluang |
Semasa pilihan raya - sama ada atas poster, papan iklan atau bendera - Hasni dipromosikan sebagai menteri besar seterusnya.
Bagaimanapun, kemudian, ADUN Machap, Onn Hafiz Ghazi dipilih mengambil alih kedudukan menteri besar dan Hasni yang membubarkan DUN dengan alasan kestabilan sebelum ini terpaksa mengalah.
0 Comments