KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin kini dapat dianggap berada dalam keadaan paling tidak selamat serta dapat dipertikaikan, menurut tokoh wartawan Datuk A Kadir Jasin.
Dipetik dari catatan Facebooknya, Kadir berkata kedudukan kerajaan yang dibentuk pada akhir Febuari lalu itu semakin tidak menentu susulan perkembangan politik semasa.
Malah pengumuman mesyuarat Biro Politik UMNO baru-baru ini turut memberi penjelasan bahawa kerajaan PN mungkin sudah hilang majoriti untuk mentadbir negara.
“Bersabit kenyataan Setiausaha Agung UMNO, (Datuk Seri) Ahmad Maslan, jelaslah bahawa Kerajaan PN sama ada telah hilang majoriti misterinya atau ibarat telur di hujung tanduk, seekor kerbau jantan yang akan berlaga.
“Lagipun majoriti yang didakwa oleh Presiden Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) itu hanyalah teori dan tekaan. Ia tidak pernah diuji di Dewan Rakyat dan Muhyiddin (Yassin) menggunakan pelbagai tipu helah bagi mengelakkannya," kata bekas ketua pengarang Kumpulan Akhbar New Straits Times itu.
A Kadir juga berkata, kenyataan pemimpin Umno itu juga telah memberikan kewibawaan kepada dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Muhyiddin telah hilang sokongan.
Sebagai rekod, pada 23 September lalu, Anwar dalam satu sidang media mendakwa bahawa kerajaan PN diterajui Muhyiddin secara teknikalnya telah roboh, Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu mendakwa mendapat majoriti selesa dari kalangan Ahli Parlimen untuk dilantik mengambil semula mandat rakyat.
Susulan kenyataan itu, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi turut membuat kenyataan bahawa beliau sedia maklum bahawa ramai ahli politik dari Umno telah memberi sokongan kepada Anwar, malah mesyuarat terbaharu oleh Biro Politik UMNO mengambarkan mereka kini bersedia meninggalkan PN sekiranya syarat baharu kerjasama lebih keras tidak dapat ditunaikan Muhyiddin.
PN ibarat telur dihujung tanduk |
“Nampaknya, dengan menghebahkan hasil keputusan Biro Politik tanpa menunggu pengesahan Majlis Tertinggi (MT), terdapat masalah dalam Umno sendiri.
“Boleh jadi jika dibawa kepada MT UMNO akan berlaku perbezaan pendapat kerana jelas ada sebahagian ahli MT yang ternyata menjadi penyokong kuat Muhyiddin kerana mereka ada jawatan empuk dalam Kerajaan PN,” katanya.
0 Comments