BEBERAPA pemimpin Umno menggesa supaya sidang Parlimen segera diadakan.
Gesaan itu menyusul pengumuman kerajaan bahawa bazar Ramadan dan Aidilfitri, serta solat Tarawih telah dibenarkan diadakan dalam tempoh darurat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi berkata, alasan persidangan Parlimen ditangguhkan kerana ramai Ahli Parlimen sudah tua, seperti dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan sebelum tidak lagi releven memandangkan ramai warga emas juga akan mengunjungi bazar Ramadan.
“Relevan lagikah darurat? Kalau semua sudah boleh, kerajaan sepatutnya beri tarikh kepada Yang di-Pertuan Agong bila Parlimen boleh bersidang.
“Alasan ramai Ahli Parlimen sudah tua paling tidak logik. Sudah tentu ramai warga emas akan pergi bazar Ramadan, bazar Aidilfitri dan solat Tarawih. Alasan jangan melucukan,” kata Mohd Puad di Facebook seperti dipetik portal FMT.
Menurut Puad, persidangan Parlimen penting untuk diadakan supaya Ahli-Ahli Parlimen lain dapat memastikan pihak eksekutif tidak melakukan “kemungkaran tersembunyi” setelah kuasa semak dan imbang sudah tidak ada lagi.
“Ini soalan untuk Perdana Menteri. Angka yang menurun sekarang ini adakah kerana perintah kawalan pergerakan atau kerana darurat? Hadapilah realiti dengan berani,” kata beliau.
Pada 3 Mac, Takiyuddin berkata kerajaan mempunyai alasan perundangan dan alasan dari sudut sains dan data untuk menangguhkan persidangan Parlimen memandangkan sebilangan besar daripada mereka tergolong dalam kumpulan berisiko, disebabkan usia mereka.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan turut membangkitkan isu sama.
Dipetik laporan Malaysiakini beliau berkata, usia ahli Parlimen tidak seharusnya menjadi alasan untuk kerajaan tidak memanggil sidang Dewan Rakyat kerana 120 wakil rakyat berusia di bawah 60 tahun.
“Ada 100 ahli Parlimen umur lebih 60 tahun. Namun ada 120 umur kurang 60 tahun. Korum sidang untku Dewan Rakyat hanya 26 ahli Parlimen, eloklah ia dibuka,” ciapnya di Twitter, hari ini.
Untuk rekod pada 24 Febuari lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang ketika tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.
![]() |
Alasan Takiyuddin dilihat tak lagi sesuai |
Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah kemudian memberi pandangan bahawa kuasa bagi memanggil sidang Parlimen terletak pada Seri Paduka Baginda tanpa memerlukan nasihat Perdana Menteri.
0 Comments