Polis buka kertas enkuiri, siasat dakwaan menteri langgar SOP


PIHAK
berkuasa Polis  dilapor telah membuka Kertas Enkuiri Polis (KEP) bagi memulakan siasatan terhadap dakwaan beberapa menteri telah melanggar SOP Covid-19.

 
Ketua Polis Sepang Wan Kamarul Azran Wan Yusof dipetik laporan media memberitahu ia susulan laporan polis daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengenai menteri terbabit merentas negeri bagi menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Ahli Parlimen Jelebu Jalaluddin Alias di Seremban pada 14 Mac 2021.

Siasatan dikendali polis Sepang kerana pengasas bersama jawatankuasa penaja Muda, Mutalib Uthman yang membuat laporan polis mengenai perkara itu pada 16 Mac lalu menyebut dalam laporan bahawa dia mengetahui mengenai tuduhan itu ketika dia berada di Sepang.

Wan Kamarul ditanya sekiranya polis sudah atau akan merakam kenyataan daripada menteri berkaitan tidak lama lagi.

Jawabnya, pihaknya sedang menunggu arahan daripada ibu pejabat polis Bukit Aman."Tunggu arahan lanjut daripada (ibu pejabat) kontinjen (polis Selangor) dan Bukit Aman," katanya

Sebelum ini, gambar beberapa menteri di majlis perkahwinan itu dimuat naik oleh Ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan, Mohd Zaidy Abdul Kadir di akaun Instagramnya sebelum kemudiannya dipadamkan.

Warganet sempat mengambil tangkap layar gambar tersebut dan memuat naiknya semula di Twitter.

Antara individu yang dinamakan dalam laporan itu ialah Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, Khairy Jamaluddin; Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa; Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad; Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said.

Selain empat menteri dan seorang timbalan menteri, Ahli Parlimen Umno Padang Terap Mahdzir Khalid juga turut dinamakan dalam laporan polis itu.

 Siasatan dikendali polis Sepang
Sementara itu, Mutalib Uthman menegaskan dia tidak menyesal dalam memfailkan laporan polis itu.

Ini, jelasnya kerana perlu ada seseorang yang melakukan hal itu untuk menunjukkan layanan "dua darjat" antara orang awam dan menteri berhubung pelaksanaan SOP.


Post a Comment

0 Comments