Di sebalik pengkhianatan, KEADILAN tetap parti berbilang kaum paling berjaya


AHLI PARLIMEN
yang belot dan menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional akan mencipta pelbagai alasan bagi mewajarkan tindakan mereka.

Walau bagaimanapun Ketua Setiausaha Pengelola KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad  berkata walaupun pelbagai alasan diberikan, beliau yakin  rakyat tidak bodoh dan mampu membuat keputusan yang betul ketika pilihan raya akan datang.

“Bagi ahli dan pendukung parti, insiden ini pasti akan mengecewakan dan menimbulkan kemarahan,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Nik Nazmi dipercayai merujuk tindakan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar, Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon  yang mengumumkan keluar dari parti KEADILAN dan kemudian menyatakan sokongan mereka terhadap Muhyiddin Yassin.

Nik Nazmi turut menganggap pembelotan yang  seolah-olah telah menjadi 'norma baharu' dalam politik negara ini memberi masalah kepada semua.

Malah jelasnya, kebimbangan mengenai budaya lompat parti telah dibangkitkan pemimpin parti itu sejak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mula menerima ahli Parlimen yang berpaling tadah dari Umno pada 2018 hingga 2019.

Sementara itu, Nik Nazmi menegaskan insiden pembelotan bekas Ahli Parlimennya dari parti itu tidak akan melemahkan KEADILAN.

Mengecewakan, namun tak melemahkan
Beliau secara peribadi meyakini perjuangan parti dan akan terus kekal bersama parti tersebut.

KEADILAN merupakan sebuah parti berbilang kaum yang paling berjaya di negara ini.

“Saya sudah mula bersama parti ini sejak dua dekad lepas, ketika saya berusia 19 tahun ekoran peristiwa Reformasi dan menyertai parti itu secara rasmi empat tahun kemudian.

“Parti yang benar-benar berbilang kaum, nasional dan reformis yang komited terhadap keadilan sosial akan sentiasa relevan di Malaysia,” katanya lagi.